17 March 2010

50 wanita warga asing ditahan

SEREMBAN – Polis menahan 45 wanita dari China, tiga dari Vietnam dan dua dari Myanmar yang disyaki pelacur, selepas menyerbu beberapa premis sekitar pangsapuri enam tingkat Sri Delima di Taman Bukit Delima, di sini dalam Operasi Noda Khas, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Supt. Lim Kim Fook berkata, turut ditahan dalam operasi tiga jam yang bermula pukul 11 pagi itu ialah 12 lelaki tempatan yang disyaki pelanggan.

Beliau berkata, kebanyakan wanita itu memasuki negara menggunakan permit lawatan, dan mereka disyaki melacurkan diri di sekitar kawasan pangsapuri tiga blok itu dengan mengenakan bayaran kira-kira RM200 tiap pelanggan.

"Dahulu kami pernah serbu kawasan ini, kemudian kawasan ini senyap sekejap, tetapi sekarang aktif kembali. Mereka ini menjalankan aktiviti pelacuran dalam unit pangsapuri yang disewa,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi yang disertai lima pegawai dan 32 anggota polis itu.

Katanya, semua wanita yang berusia sekitar awal 30-an itu akan disiasat mengikut Seksyen 372A (1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan yang berkaitan dengan aktiviti pelacuran. – Bernama

No comments:

Post a Comment