17 February 2010

Zulkifli Noordin persoal tarikh kesnya didengar

Ahli parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hairan mengapa lembaga disiplin PKR mahu bersidang pada tarikh yang parti itu sendiri tahu yang beliau akan berada di luar negara.

Katanya, beliau telah menerima surat tunjuk sebab dan notis tersebut menyatakan lembaga berkenaan akan bersidang pada 18 Februari, dengan tarikh alternatifnya pada 23 Februari.

"Saya agak hairan mengapa mereka memilih tarikh-tarikh tersebut sedangkan PKR mengetahui saya akan berada di Korea dalam tempoh tersebut menghadiri program International Leadership Conference bersama beberapa ahli parlimen lain.

"Saya berharap ia tidak bertujuan untuk menghalang saya daripada menghadiri prosiding di hadapan lembaga disiplin tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Zulkifli

Saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkaitan tindakan saya membuat lapuran polis terhadap YB Khalid Samad mengenai isu kalimah ALLAH.

Saya ingin menegaskan bahawa saya bersedia untuk berhadapan dengan Lembaga Disiplin PKR untuk mempertahankan prinsip dan pegangan saya dalam isu kalimah ALLAH ini.

Bagaimanapun, notis tersebut menyatakan bahawa Lembaga Disiplin akan bersidang pada 18 Feb, dengan tarikh alternatif pada 23 Feb. Saya agak hairan mengapa mereka memilih tarikh-tarikh tersebut sedangkan PKR mengetahui bahawa saya akan berada di Korea dalam tempoh tersebut menghadiri program International Leadership Conference bersama beberapa Ahli Parlimen lain. Saya berharap ia tidak bertujuan untuk menghalang saya daripada menghadiri prosiding di hadapan Lembaga Disiplin tersebut.

Kedua, saya dituduh mengambil pendirian yang bercanggah dengan pendirian PKR. Saya tidak pasti apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pendirian dan keputusan parti dalam isu kalimah ALLAH ini. Walaupun saya mengakui bahawa ada pihak daripada PKR telah membuat kenyataan bahawa golongan Kristian berhak menggunakan nama ALLAH sebagai Tuhan mereka kerana nama ALLAH bukan milik eksklusif umat Islam, juga kerana semua manusia menyembah tuhan yang sama.

Kalau itu yang dimaksudkan sebagai pendirian dan keputusan parti, maka jelas ianya bercanggah dengan prinsip dan aqidah saya yang mempercayai ALLAH adalah Tuhan yang Maha Esa dan tiada siapa boleh menuntut hakmilik eksklusif nama ALLAH kerana nama itu adalah milik ALLAH sendiri. Saya mendesak pihak Lembaga Disiplin memperjelaskan pendirian dan keputusan parti yang saya didakwa tidak mematuhi untuk memudahkan saya membuat pendirian dan menyediakan pembelaan saya dalam prosiding disiplin tersebut (jika perlu).

Ketiga, saya merasa dukacita kerana notis tunjuk sebab hanya dikeluarkan terhadap saya, YB Dato' Seri Zahrain dan YB Tan Tee Beng sedangkan YB Ketua Umum PKR dan YB Setiausaha Agong telah mengumumkan selain kami bertiga, YB Wee Choo Keong dan Datuk Zaid Ibrahim juga akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin. Saya telah dimaklumkan oleh sumber dalaman yang sahih dari PKR menyatakan tiada notis tunjuk sebab dan prosiding disiplin akan diambil terhadap YB Wee Choo Keong dan Datuk Zaid Ibrahim, malahan kenyataan-kenyataan yang dibuat hanyalah retorik politik sahaja.

Menurut maklumat tersebut, sebenarnya PKR tidak pernah berniat pun untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka kerana mereka adalah "kroni" bagi kepimpinan PKR. Sekiranya benar, saya percaya ini adalah satu helah politik yang sangat saya kesalkan dan membuktikan sikap "double-standard" yang jelas. Oleh itu, bagaimana saya boleh menghormati Lembaga Disiplin yang ditubuhkan kononnya untuk menyiasat saya sedangkan "kroni" mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan? Oleh itu, saya mendesak supaya kepimpinan PKR untuk "walk the talk" dan mengambil prosiding disiplin yang sama terhadap kedua-dua kroni tersebut dan tidak bermain silap mata politik murahan.

Keempat, saya mempunyai keraguan yang serius terhadap kewibawaan dan kebebasan sebenar Lembaga Disiplin yang ditubuhkan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap saya. Ini adalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden YB Azmin Ali, Pengarah Strategi YB Tian Chua dan Ahli Biro Politik/ MPT Datuk Zaid Ibrahim dan lain-lain pimpinan PKR jelas telah menghukum saya sebelum prosiding bermula pun bilamana mereka mendesak supaya saya dipecat.

Tambahan Ketua Umum sendiri telah melabel saya sebagai pelampau. Jadi bagaimana Lembaga Disiplin yang duduk dibawah MPT boleh diharap berlaku adil dan saksama kepada saya; dalam keadaan kepimpinan parti yang akan membuat keputusan sudahpun menghukum saya dan bertindak menjadi penyiasat, pendakwa, hakim serta penghukum!? Atau apakah prosiding Lembaga Disiplin ini sekadar satu “drama politik” semata-mata untuk menunjukkan kononnya saya sudah diberi peluang membela diri sedangkan keputusannya sudah pun dipersiapkan!?

Walau bagaimana pun, saya tetap akan mempertahankan prinsip saya dan menegaskan bahawa saya bersedia berhadapan dengan Lembaga Disiplin untuk menyatakan pendirian dan membela diri saya pada bila-bila masa dan dimana jua tempat yang munasabah dan bersesuaian bagi semua pihak.

Saya tidak mahu ada Firaun-Firaun Kecil yang akan mengambil kesempatan untuk mendakwa kononnya saya takut berhadapan dengan Lembaga Disiplin. Saya bukan sahaja tidak takut, malahan bersedia dengan apa juga risiko yang bakal dihadapi demi mempertahankan aqidah dan keyakinan saya terhadap agama saya.
Oleh itu, saya mendesak supaya Lembaga Disiplin dapat memberikan tarikh dan tempat yang bersesuaian saperti yang telah saya cadangkan (iaitu 28 Feb atau 01-05 Mac 2010) dan memastikan pertuduhan terhadap saya jelas.

Saya juga mendesak prosiding tersebut akan dikendalikan oleh mereka yang berwibawa dan mempunyai integriti. Saya juga menuntut supaya panel yang akan membicarakan saya adalah terdiri daripada mereka yang beragama Islam kerana isunya membabitkan kalimah ALLAH yang hanya boleh difahami oleh mereka yang beragama Islam. - Malaysiakini

* Tugasnya adalah memecahbelahkan Pakatan Rakyat dari dalam.

No comments:

Post a Comment