15 February 2010

Zambry gelabah adakan sambutan Tahun Baru Cina

IPOH, 15 Feb: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sangat menggelabah dan cuba menarik sokongan orang Cina demi mempertahankan kerajaan yang disahkan oleh mahkamah minggu lepas dengan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim berkata, walaupun tidak menyalahi syariat namun ia telah melanggar adat susila yang selama ini diamalkan dan nampak sangat ‘bodohnya’.

Katanya, sebelum ini, beliau ada terdengar desas desus yang mengatakan Zambry akan mempergunakan sambutan itu untuk menarik sokongan masyarakat Cina supaya kembali menyokong BN tetapi tidak terfikirlah sampai ke tahap itu.

“Saya sangat terkejut dengan tindakan Zambry yang mendahului zaman dengan mengadakan sambutan Hari Raya Cina di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh, semalam, kononnya seperti yang dilaporkan oleh media mendapat sambutan yang hangat dari pelbagai bangsa di Perak,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Baginya, itulah sejarah baru dalam negara apabila seorang pemimpin Umno mengadakan rumah terbuka khususnya di kediaman rasmi bertaraf menteri besar di Perak.

“Sebelum ini kita dengar cerita kucing bertanduk dan ikan keli bersisik, sekali ini ianya berlaku di Perak dengan seorang yang mengaku Melayu mengadakan sambutan Hari Raya Cina,” katanya.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu menambah, sememangnya tidak masuk akal dan hanya dilakukan oleh orang yang tidak berakal apabila mengadakan hari terbuka bangsa lain.

“Kalau hendak dikatakan menghina mungkin boleh tetapi yang pasti Zambry sudah melukai hati penulis dan saya kira inilah yang dirasakan oleh penyokong Pakatan Rakyat khususnya orang yang sebangsa dengan saya,” katanya lagi.

Sebenarnya, kata beliau sewajarnya rumah terbuka Tahun Baru Cina hanya dianjurkan oleh pemimpin BN yang berbangsa Cina seperti yang akan dilakukan hari ini oleh Adun Cenderiang, Dr Mah Han Soon.

Beliau berkata, sebenarnya Zambry kalaulah dia cerdik hanya mempergunakan sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA itu untuk kepentingan politiknya dan BN.

“Itulah kebiasaan yang dilakukan oleh semua pemimpin Umno selama 50 tahun lebih dan tradisi ini telah dicabuli oleh menteri besar di Perak, bertambahlah koleksi pelanggaran sekali ini pelanggaran amalan budaya dan adat resam,” ujarnya. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment