28 February 2010

Warga emas maut ditikam dalam kejadian samun

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Seorang warga emas maut selepas ditikam dalam satu kejadian samun di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supretenden Bakhtiar Rashid berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.10 malam semasa warga emas itu bersama isterinya baru pulang dari surau selepas menunaikan solat maghrib.

Beliau berkata, sebaik tiba di perkarangan rumah, mereka didatangi seorang lelaki dan wanita berumur dalam lingkungan 30-an bersenjatakan pisau, mengugut supaya mereka menyerahkan barang berharga.

Katanya, warga emas itu kemudiannya ditikam dalam pergelutan sebelum pasangan penyamun tersebut melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna kelabu bersama barang berharga yang disamun.

"Warga emas itu kemudiannya dihantar ke sebuah klinik berhampiran oleh jiran mereka dan beliau meninggal dunia sejurus tiba di klinik berkenaan akibat kecederaan parah di perut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bakthiar berkata, polis masih belum dapat mengenal pasti barang berharga milik pasangan warga emas yang berumur dalam lingkungan 70-an yang disamun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

* Siapa kata Malaysia aman?

No comments:

Post a Comment