23 February 2010

Tertuduh maklum Kugan sakit teruk - Saksi

PETALING JAYA 22 Feb. - Konstabel V. Navindran dikatakan berlari ke arah bilik ketuanya, Asisten Supritendan (ASP) Rodney Pasla Harris dalam keadaan tergesa-gesa untuk memaklumkan bahawa A. Kugan berada dalam keadaan sakit teruk dan sesak nafas, demikian Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.

Rodney, 31, yang dipanggil semula memberikan keterangan berkata, ketika itu beliau sedang diberi taklimat oleh salah seorang anggotanya mengenai perkembangan siasatan terhadap Kugan yang didakwa terbabit dalam kes curi kereta.

Kugan, 23, mati dalam tahanan polis di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, dekat sini, beberapa hari selepas ditahan pada 15 Januari tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam kes curi kereta.

Pada 1 Oktober tahun lepas, Navindran, 28, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

''Lebih kurang 10 hingga 15 minit kemudian, tertuduh berlari ke pejabat saya dalam keadaan tergesa-gesa dan memaklumkan kepada saya bahawa Kugan sakit teruk dan sukar bernafas,'' kata saksi pendakwa pertama itu.

Rodney berkata, beliau kemudian mengarahkan Navindran pergi mendapatkan bantuan kecemasan di klinik berdekatan dan beliau kemudian menuju ke bilik soal siasat iaitu tempat Kugan ditahan untuk melihat keadaan mangsa.

Beliau cuba memanggil nama mangsa beberapa kali sambil menepuk bahu kirinya untuk menyedarkan mangsa selepas beliau mendapati mangsa dalam keadaan sakit teruk dengan matanya terbeliak, tetapi usahanya gagal.

''Mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif sepanjang saya menepuk bahunya dan bibirnya kelihatan begitu pucat.

''Beberapa minit kemudian, Navindran sampai dengan Dr. Baldev Singh dan pemeriksaan dilakukan. Selepas memeriksa mangsa, Baldev mengesahkan Kugan sudah meninggal dunia,'' katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abzafree Mohd. Abas.

Rodney yang juga berkhidmat bersama Cawangan Jenayah Berat (D9) menjelaskan, mangsa ketika ditemui mati duduk bersandar di dinding bilik itu dengan masih berpakaian penjara iaitu berwarna oren.

Navindran yang diwakili peguam bela, Datuk P.M. Nagarajan didakwa melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya pada pukul 7 pagi, 16 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ketika disoal sama ada mangsa ada mengadu mengenai ketidakselesaan atau apa jua masalah ketika siasatan dilakukan, Rodney berkata:

''Tidak. Selain meminta diberikan air, mangsa tidak merungut atau menghadapi masalah lain.''

''Pada kebiasaannya setiap tahanan boleh disoal siasat bermula pada 9 pagi hingga 5 petang dan kemudiannya akan dihantar semula ke lokap Balai Polis Puchong,'' katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin disambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment