09 February 2010

Tak serik 10 sebatan

KUALA LUMPUR: Pernah merengkuk lebih 15 tahun, malah parut kesan sebatan 10 kali kerana mengedar dadah masih berbekas namun semua itu belum menginsafkan seorang banduan apabila kembali aktif dengan kegiatan lama mengedar ganja hanya selepas tiga bulan dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh.

(Gambar : RAMPAS...Wan Abdul Bari (tiga dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas daripada suspek.)

Lelaki berusia 39 tahun itu tidak pernah serik dengan pengalaman silam, malah cuba menjadi pengedar ganja terkenal di kawasan Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya di sini.

Kegiatan suspek, bagaimanapun ditumpaskan selepas sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis daerah Brickfields diketuai Inspektor P Pritam memberkas suspek berhampiran Batu 5, Jalan Klang Lama di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, polis yang mendapat maklumat awam cuba memberkas suspek di kawasan berhampiran satu pangsapuri, namun suspek cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis.

Menurutnya, polis mengejar suspek menyebabkan berlaku pergelutan sebelum diberkas.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui bungkusan kertas surat khabar mengandungi cebisan daun kering disyaki ganja seberat 60 gram.

“Polis yang memeriksa rumah suspek menemui beg pinggang mengandungi satu plastik lut sinar yang diisi daun ganja seberat 145 gram di dalamnya,” katanya.

Siasatan mendapati suspek yang direman sehingga esok aktif menjual dan mengedar ganja di kawasan Jalan Klang Lama, Kuchai dan Puchong.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Indonesia berasal dari Aceh, Sumatera diberkas selepas cuba mengedar dadah di daerah terbabit dengan menyamar pelancong.

Kegiatan suspek dipatahkan selepas sepasukan anggota JSJN Brickfields memantau kegiatan suspek di kawasan meletak kenderaan berhampiran pusat beli-belah di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, Khamis lalu.

“Hasil siasatan, polis menahan suspek yang ketika itu baru keluar dari keretanya. Suspek yang memegang beg plastik cuba melarikan diri sebelum dikejar anggota polis.

“Bagaimanapun, suspek yang dapat ditahan masih berdegil dan tidak mahu menyerah diri hingga menyebabkan polis terpaksa bergelut untuk menumpaskannya. Hasil pemeriksaan, polis menemui bungkusan kertas surat khabar yang diisi dengan ketulan dadah ganja mampat seberat 1,000 gram,” katanya.

Abdul Bari berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui satu lagi bungkusan ganja mampat seberat 980 gram. “Berdasarkan siasatan, suspek memasuki negara ini secara sah menggunakan visa lawatan sosial sebagai pelancong untuk bergiat aktif sebagai pengedar dadah,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun diberkas selepas didapati menyimpan 10 peket plastik berisi heroin seberat 35 gram.

Suspek ditahan polis kira-kira jam 11.30 malam semalam berhampiran Taman Sri Sentosa di sini, selepas didapati cuba mengedar dadah di kawasan berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya. - Mymetro

* Sebat di khalayak ramai dapat memberi pengajaran yang lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment