13 February 2010

Saya belum putus ikut Zahrain - Tee Beng

PULAU PINANG 12 Feb. - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng belum membuat keputusan sama ada mahu mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tee Beng yang agak terkejut dengan tindakan Zahrain itu berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat sebarang keputusan.

"Sama ada saya mahu, akan atau mungkin ikut langkah Zahrain adalah spekulatif semata-mata.

"Saya belum memutuskan mengenai perkara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zahrain hari ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR dan keluar parti itu serta-merta.

Keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta tidak lagi percaya dengan perjuangan pakatan pembangkang.

Tee Beng sebelum ini secara terbuka mengkritik kepimpinan Guan Eng dan menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai pemimpin berat sebelah dan tidak menghiraukan pandangan rakan-rakannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kritikan itu menyusul selepas Zahrain menyerang kepimpinan Guan Eng yang didakwanya sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.

Tee Beng yang juga bekas Ketua Penerangan PKR negeri memberitahu, beliau sedih dengan keputusan itu tetapi telah menjangkakan ia berlaku berikutan kekecewaan Zahrain terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

"Saya sedih melihat Zahrain terpaksa meninggalkan parti selepas banyak berkorban. Namun, saya faham dengan keputusannya itu, dia begitu kecewa," ujarnya.

Ditanya bentuk tindakan yang akan diterima daripada PKR pusat kerana mengkritik Guan Eng, Tee Beng menjelaskan, sehingga hari ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kecuali surat yang dikirimkan melalui e-mel kepadanya kelmarin.

Katanya, surat tersebut terlalu ringkas dan langsung tidak menyatakan dengan jelas kesalahan yang dilakukannya, bila hukuman akan dijatuhkan dan bentuk kerjasama yang diharapkan oleh pucuk pimpinan PKR.

"Saya rayu kepada jawatankuasa disiplin parti, tolong nyatakan ketiga-tiga perkara ini.

"Saya semakin keliru, mungkin saya terpaksa ambil sakit kepala hari ini," katanya. - Utusan

* Nanti orang kata "Tarak guna punya wakil rakyat, sikit punya hal pun sudah pening"...

No comments:

Post a Comment