08 February 2010

Raja Petra: Anuar diminta salur maklumat kepada polis

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari supaya menghubungi polis jika mempunyai maklumat mengenai pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin (gambar).

Beliau berkata, tindakan beliau yang membuat pendedahan secara terbuka kepada mana-mana bentuk sumber termasuk media hanya akan menganggu dan merumitkan siasatan polis.

"Kalau benar dia (Anuar) mempunyai maklumat, sila tampil kepada polis dan bagi maklumat secara rasmi. Mana tahu maklumat itu boleh membantu polis sehingga tertangkapnya pengendali portal itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Anuar mendedahkan seorang individu bernama Aasil Kazi Ahmad iaitu warganegara Amerika Syarikat (AS) berketurunan Pakistan dipercayai mampu membantu polis mengesan Raja Petra.

Pada sidang akhbarnya, Anuar mendakwa, lelaki terbabit, dipercayai masih berhubung dengan Raja Petra yang telah melarikan diri ke luar negara.

Anuar juga sedia menyalurkan segala maklumat mengenai Aasil kepada polis bagi mengesan Raja Petra.

Ismail berkata, pihaknya sedang menyiasat semua petunjuk baru serta maklumat yang ada dalam memburu Raja Petra.

Ditanya mengenai Aasil, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang maklumat kerana dikhuatiri menganggu siasatan.

"Biar kami siasat dulu. Buat masa ini terlalu awal untuk saya mendedahkan apa-apa maklumat," jelas beliau.

Sebelum ini, Raja Petra dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan ke atasnya pada 23 April dan 25 Mei tahun lalu, kerana gagal mengikuti perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dituduh menerbitkan artikel Let's Send the Altantuya Murderers to Hell dalam laman www.malaysia-today.net bertarikh 25 April 2008, selain dituduh memfitnah Rosmah dan dua yang lain dalam akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta 18 Jun tahun lalu. - Utusan

No comments:

Post a Comment