22 February 2010

Rais: Stesen radio diwajib putar lagu baru artis tempatan

KUALA LUMPUR, Feb 22 — Mulai 1 Mac ini, semua stesen radio diwajibkan memutarkan lagu-lagu daripada album atau “single” terbaru artis tempatan untuk tempoh tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar).

Beliau berkata langkah itu juga akan menjadi antara syarat pemberian lesen stesen radio dan beliau percaya pemegang lesen stesen radio tidak akan keberatan untuk mematuhi arahan itu.

Arahan itu akan dikuatkuasakan mengikut Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 supaya stesen radio mempromosikan lagu-lagu tempatan memandangkan usaha itu didapati masih kurang diutamakan, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil akreditasi kepada artis tempatan dalam bidang seni persembahan di Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, dekat sini hari ini.

Seksyen 33 Akta berkenaan memperuntukkan bahawa Menteri boleh pada bila-bila masa, melalui perisytiharan mengikut Seksyen 13 akta yang sama, antara lain, mengubahsuaikan atau mengubah syarat-syarat khas atau tambahan sesuatu lessen individu sedia ada dan mengenakan syarat-syarat khas atau tambahan lanjut kepada sesuatu lesen individu yang sedia ada.

Ketika ditanya mengenai tindakan drastik kerajaan mewajibkan stesen radio supaya memberi ruang kepada lagu baru tempatan, Rais berkata tindakan itu diambil selepas beliau “terkejut” dengan perkembangan semasa yang disifatkannya sebagai “serong” dan tidak menyebelahi industri muzik tanah air.

“Banyak stesen radio... mereka tak kisah tentang muzik tempatan. Mereka lebih menggiurkan hati masing-masing dengan lagu-lagu luar dan tidak memberikan penekanan langsung kepada program cintakan muzik Malaysia sendiri.

“Bagi kementerian ini satu langkah untuk membina negara kita melalui seni muzik kita sendiri,” tegas beliau.

Rais berkata usaha itu juga bertujuan menyuburkan kembali industri muzik Negara yang “semakin mencemaskan” dengan menyaksikan penurunan nilai industri itu daripada lebih RM200 juta pada 2001 kepada kurang RM70 juta pada ketika ini.

Katanya selain mewajibkan stesen radio memutarkan lagu-lagu baru tempatan, kementerian itu juga akan mempergiatkan usaha menangani kekangan lain seperti masalah cetak rompak dan muat turun muzik di Internet.

Sambil menegaskan bahawa sebuah jabatan muzik akan ditubuhkan di bawah kementerian itu dalam usaha memperkasakan industri muzik tanah air, beliau bagaimanapun mahu jabatan itu bebas daripada birokrasi.

Mengenai pemberian sijil akreditasi kepada 10 penerima yang terdiri daripada sembilan kumpulan muzik dan seorang individu di sini hari ini, Rais berkata mereka akan diberikan keutamaan mengadakan persembahan di hotel.

Beliau berkata program akreditasi itu bertujuan meningkatkan kualiti artis dan pemuzik tempatan, sekali gus mendorong nisbah 70:30 yang ditetapkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk mengadakan persembahan di hotel-hotel, dapat dipenuhi.

Sebelum ini, penganjur dan pihak hotel memberi alasan sukar mendapat artis tempatan yang memenuhi piawai mutu persembahan berbanding artis luar negara.

“Kementerian akan mewujudkan jawatankuasa ataupun kumpulan pemantau supaya tahap 70 peratus disumberkan daripada tenaga tempatan dan 30 peratus bagi artis luar. Bagi memastikan dasar ini berjalan lancar, kementerian memohon kerjasama pemilik hotel,” katanya.

Selain itu, Rais turut mencadangkan agar Padang Merbok di ibu negara dijadikan sebagai premis persembahan awam terutama melibatkan kumpulan muzik, teater, pelawak dan artis veteran.

Sementara itu Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata pengumuman itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh seluruh industri muzik yang mahukan lagu dan artis tempatan yang berkualiti dimartabatkan pada kedudukan sewajarnya.

“Ini satu pengiktirafan kerajaan kepada industri muzik negara,” katanya yang turut hadir pada sidang media itu. — Bernama

No comments:

Post a Comment