26 February 2010

PSSI didenda RM17,000, penyokong tak hormat lagu Negaraku

JAKARTA 26 Feb. - Aksi para penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan Malaysia menentang Vietnam dalam pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di sini Isnin lepas, mengakibatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).

Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) setelah Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian itu kerana kelakuan itu telah mencemarkan maruah sebuah negara.

Walaupun Indonesia menempah tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Uzbekistan Mei ini, aksi penyokongnya itu sedikit sebanyak mencemarkan kejayaan pasukan republik itu.

Pasukan tuan rumah layak ke pusingan akhir di Uzbekistan setelah menewaskan Malaysia 3-5 di peringkat separuh akhir pada Rabu lepas.

Dalam kejadian pada hari Isnin di Stadium Tenis Tertutup Senayan itu, sejurus pasukan negara memasuki stadium dan lagu Negaraku dimainkan, para penonton telah menyanyikan lagu kebangsaan mereka, Indonesia Raya. - Bernama

No comments:

Post a Comment