26 February 2010

Pengerusi LPKP turut jadi mangsa teksi cekik darah

KUALA TERENGGANU, 25 Feb — Sikap segelintir pemandu teksi mengenakan kadar tambang yang tinggi di Kuala Lumpur ternyata tidak mengenal mangsa apabila Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique turut menjadi mangsa perbuatan itu.

Mendedahkan perkara itu, Halimah berkata, beliau sendiri beberapa kali terkena dengan sikap pemandu teksi cekik darah selain enggan menggunakan meter ketika membawanya dari KLCC ke kawasan The Mall.

"Pemandu teksi itu memberitahu kalau nak naik saya perlu bayar RM20 dan enggan pakai meter. Apabila saya tanya kenapa tidak mahu pakai meter dia bagi alasan mengatakan akan menanggung kerugian jika berpatah balik semula ke KLCC tanpa penumpang.

"Katanya kenaikan 30 peratus tambang teksi yang dilakukan oleh kerajaan belum cukup untuk menampung kos mereka sedangkan sebelum kerajaan membuat kenaikan itu, pelbagai perkara telah diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan (STK) Kereta Sewa Negeri Terengganu dan Majlis Interaksi Bersama Persatuan dan Pengusaha Kenderaan Perdagangan Wilayah Timur di sini hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment