KUALA LUMPUR, Feb 17 — Barisan Exco Pemuda Umno membuat kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Najib Razak petang ini di sebalik desas-desus segelintir pemimpin sayap itu mahu menjatuhkan kepimpinan ketua mereka Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, seorang anggota exco yang mengesahkan pertemuan itu menyifatkannya sebagai “kunjungan biasa dan tiada kaitan dengan insiden” yang tercetus bulan lalu.
Ketika mesyuarat bulan lalu salah seorang exconya Hishamuddin Yahya dikatakan telah meminta Khairy agar berundur kerana didakwa tidak efektif memimpin pergerakan tersebut.
Hishamuddin juga dikatakan telah menggesa diadakan pemilihan baru untuk memilih barisan Pemuda Umno yang lebih berkesan.
“Pertemuan ini adalah ruang yang sesuai bagi kami menyelesaikan perbezaan kami. Memang ada sedikit kebenaran dalam maklumat yang terbocor ini, bagaimanapun ia tidak serius.
“Biar kami menemui perdana menteri terlebih dahulu,” kata seorang exco yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Sebaliknya menurut mereka, pertemuan yang dijadual diadakan di Putrajaya pukul 5 petang ini merupakan kunjungan hormat atas kapasiti sebagai barisan kepimpinan baru dipilih Mac tahun lalu.
“Kami sebenarnya sudah lama merancang untuk mengunjungi Datuk Seri Najib selaku perdana menteri dan presiden Umno.
“Ia tiada kaitan dengan desas-desus kononnya wujud perpecahan dalam barisan kepimpinan Pemuda Umno... tidak, tidak betul,” kata sumber itu lagi.
Secara kebetulan tarikh pertemuan hanya diperoleh selepas insiden bulan lalu.
“Kami mahu mendengar amanat beliau selaku ketua kami (presiden Umno),” kata seorang lagi sumber.
Khairy, Ahli Parlimen Rembau, mengetuai pergerakan Pemuda Umno sejak Mac 2009 dengan mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Naib Ketua Pemuda ialah Datuk Razali Ibrahim, yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Khairy telah menyifatkan laporan portal kononnya wujud kemelut dalaman dalam Pemuda Umno sebagai “kurang tepat”.
The Malaysian Insider difahamkan beberapa exco Pemuda Umno tidak gembira dengan pendirian diambil Khairy dalam isu kalimah “Allah” dan siri serangan dan kerja-kerja vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat.
“Beliau seharusnya telah memanggil mesyuarat tergempar exco untuk membincangkan pendirian Pemuda, bukan mengambil keputusan seorang diri,” kata seorang lagi exco.
Khairy dilaporkan sebagai berkata Umno mula beralih dari pendirian kesederhanaan dalam isu ini.
Beliau juga menyokong penggunaan perkataan “Allah” oleh bukan Islam di Sabah dan Sarawak bukannya di Semenanjung.
Konsensus di kalangan pemimpin Pemuda Umno yang menentang kepimpinan Khairy, wakil rakyat penggal pertama ini ialah beliau telah gagal untuk membawa bersama penyokong bekas pesaingnya Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo.
Selepas dakwaan perpecahan mula muncul, Khairy menulis dalam facebook yang beliau telah menghadiri satu majlis di Labuan bersama exconya Hishamuddin bagi menggambarkan hubungan mereka masih baik.
Beberapa hari kemudian beliau muncul bersama Mukhriz pada majlis Juara Rakyat di Jerlun, Kedah dan beberapa gambar mereka kelihatan bersama turut dimuatkan dalam Facebook Khairy.
Khairy merupakan Ketua Pemuda Umno pertama dalam tempoh beberapa tahun ini tidak dilantik menganggotai Kabinet.
Razali, timbalannya, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan manakala Mukhriz yang ditewaskannya pula kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - Malaysianinsider
No comments:
Post a Comment