21 February 2010

Pemimpin kanan Abu Sayyaf terbunuh dalam pertempuran

MANILA 21 Feb. - Pasukan penggempur tentera Filipina hari ini berjaya membunuh seorang pemimpin kanan Abu Sayyaf, sebuah kumpulan yang terlibat dalam penculikan dan pengeboman di pedalaman kepulauan selatan, kata seorang komander tentera.

Albader Parad dan lima rakannya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera laut di kawasan hutan di kaki Gunung Tucay, di kawasan pedalaman kepulauan Jolo, kata Lefternan Ben Dolorfino kepada pemberita.

"Kami mengesahkan salah satu mayat yang ditemui adalah Albader Parad sepertimana disahkan oleh sumber orang awam yang berkecuali," kata Dolorfino dalam pesanan teks kepada pemberita. "Kami percaya ia dapat melumpuhkan kumpulan pemberontak di selatan."

Dolorfino berkata, seorang tentera turut terkorban manakala dua lagi dipercayai mengalami kecederaan ketika pertempuran tersebut. Beberapa orang pemberontak juga turut mengalami kecederaan.

Parad, yang namanya disenaraikan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat sebagai pemimpin pemberontak Islam yang menculik tiga anggota Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Jolo pada Januari 2009.

Dolorfino berkata, pihak tentera mula mengesan pergerakan Parad berhampiran pekan Indanan selepas menerima maklumat dari penduduk tempatan semalam. Pihak tentera menyerbu kumpulan Parad awal hari ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment