PETALING JAYA 6 Feb. – Seorang pengurus bank kehilangan kereta BMW 5-series miliknya selepas dilarikan oleh tiga lelaki yang bertindak melanggar keretanya dari belakang, semasa beliau melalui kawasan bawah restoran jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.
Tiga lelaki itu menggunakan kereta BMW 3-series untuk merempuh kereta pengurus bank tersebut.
Ketua Polis Dearah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9 malam semasa pengurus bank itu sedang memandu menghala ke arah selatan, apabila keretanya dirempuh dari belakang.
Katanya, pengurus itu tidak mengesyaki apa-apa semasa dia berhenti di bahu jalan untuk memeriksa keretanya.
"Salah seorang suspek yang bersenjatakan parang kemudiannya terus meluru masuk ke dalam kereta pengurus itu dan memecut laju meninggalkan tempat kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rakyat Face-To-Face Community Policing and High Profile Policing di Subang Perdana di sini hari ini.
Arjunaidi berkata, polis sedang berusaha memburu ketiga-tiga suspek yang berumur sekitar 30-an itu dan mengesan kereta pengurus bank itu yang dianggar bernilai RM200,000. – Bernama
No comments:
Post a Comment