19 February 2010

Pemasyarakatan banduan atasi penjara sesak

MELAKA 18 Feb. - Kerajaan akan memperkenalkan program pemasyarakatan bagi banduan-banduan yang melakukan kesalahan ringan dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di dalam penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui program itu, masalah kesesakan di dalam penjara dapat diatasi di samping kerajaan tidak lagi perlu membina penjara baru bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurut beliau, banduan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan iaitu mempunyai baki hukuman penjara tidak melebihi satu tahun akan mengikuti program komuniti di luar penjara.

Katanya, banduan yang memenuhi syarat tersebut tidak akan menetap di dalam penjara sebaliknya berada di luar penjara untuk melakukan kerja-kerja amal seperti khidmat masyarakat, khidmat bakti berbayar, bekerja dalam perusahaan usahasama, sektor pertanian dan sebagainya.

''Kita kena cari satu kaedah di mana kes-kes ringan seperti ragut di mana banduannya tidak lagi terus dipenjara dan program khidmat kepada masyarakat adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan di dalam penjara.

''Sekarang ini terdapat kira-kira 17,256 banduan yang melakukan kesalahan ringan. Apabila mereka dibenarkan mengikuti program komuniti di luar penjara sebelum dibebaskan, kita dapat mengurangkan jumlah banduan di dalam penjara.

''Apa yang lebih penting, program pemasyarakatan ini juga sebagai persediaan awal kepada banduan untuk diserapkan dalam masyarakat agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama,''katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Kompleks Penjara Sungai Udang yang bernilai RM305 juta di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Pada masa ini terdapat 36,040 banduan yang berada di penjara seluruh negara iaitu 10,800 daripada jumlah tersebut adalah banduan warga asing dan 25,240 pula rakyat tempatan.

Bagi kes jenayah berat pula terdapat kira-kira 18,784 orang manakala bagi kes jenayah ringan pula berjumlah 17,256.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, banduan yang akan mengikuti program komuniti pada jarak 20 kilometer dari penjara akan diawasi oleh pegawai parol dan pegawai penjara.

''Banduan yang bekerja di luar penjara ini akan dipantau sepenuhnya. Apabila habis bekerja mereka akan berada di rumah yang ditetapkan tidak boleh pergi ke tempat lain," ujarnya.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Jabatan Penjara akan melaksanakan pengkategorian dan klasifikasi penjara berasaskan pemulihan dan keselamatan.

'''Ia bertujuan untuk memudahkan pengkhususan latihan pemulihan serta tahap keselamatan yang diperlukan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, Kompleks Penjara Sungai Udang yang dibina dengan kos RM303 juta dijadual mula beroperasi Mei ini.

Menurutnya, penjara baru itu dapat menampung kira-kira 2,000 banduan membabitkan 1,700 banduan lelaki dan selebihnya wanita. - Utusan

* Dia kata ragut kesalahan ringan...

No comments:

Post a Comment