KUALA LUMPUR, Feb 18 — Dewan Muslimat PAS tidak mempertikaikan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam yang didapati bersalah kerana mengadakan persetubuhan haram tetapi mempersoalkan cara pelaksanaan oleh agensi-agensi penguat kuasa undang-undang khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berkata pihak berkuasa yang terlibat dalam melaksanakan hukuman sebatan sepatutnya telah memaklumkan kepada umum terlebih dahulu.
“Pada saya, merujuk kepada al-Quran, hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah mengikut ajaran Islam sama ada bagi kaum lelaki ataupun kaum wanita.
“Tetapi cara pelaksanannya, saya tidak bersetuju... biarlah cara pelaksanaan juga tepat mengikut Islam.
“Dari segi Islam, kalau sabit kesalahan biarlah dimaklumkan kepada umum sebelum hukuman dilaksanakan... dimaklumkan kepada pihak umum,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Dalam kenyataan awal, Sisters in Islam (SIS) membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi terhadap kaum wanita.
Hamidah menambah, dengan melaksanakan hukuman ke atas mereka tindakan itu secara tidak langsung menggambarkan yang kerajaan cuba menyembunyikan layanan tidak adil dan memalukan ini daripada pengetahuan orang ramai.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tiga orang wanita Islam telah menjalani hukuman sebatan minggu lalu, menjadikan yang pertama menjalani hukuman ini di bawah undang-undang Syariah kerana mengadakan hubungan seks haram.
Hukuman dijalankan di Penjara Kajang 9 Feb lalu.
Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga bulan lalu.
Langkah melaksanakan hukuman sebatan ke atas wanita mencetuskan kontroversi tahun lalu selepas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.
Dalam pada itu Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata pihaknya juga terkejut dan kecewa dengan kenyataan Hishammuddin semalam bahawa tiga wanita Islam telah menjalani hukuman sebatan yang dikendalikan oleh Penjara Kajang.
“Kami menggesa kerajaan dengan segera mengkaji semula dan memansuhkan semua bentuk hukuman membabitkan merotan dan mematuhi norma-norma dan prinsip antarabangsa berkaitan hukuman (ke atas pesalah),” kata Ragunanth dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau berkata, Majlis Peguam menerusi Mesyuarat Agung Tahunan pada 17 Mac 2007 telah mengecam sebatan sebagai salah satu bentuk hukuman bagi apa jua kesalahan.
Pendirian Majlis Peguam kata beliau, selari dengan norma-norma hak asasi manusia yang mengecam hukuman sebatan.
Katanya, mengambil kira isu Kartika masih belum diselesaikan manakala publik terus berpendirian tegas bahawa ia tidak wajar ke atas kaum wanita di bawah Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah, adalah sesuatu yang mengejutkan pengumuman mengenai perkara tersebut hanya dibuat selepas hukuman dijalankan. - Malaysianinsider
* Sisters in Islam (SIS) tidak pula membantah hukuman gantung bagi pesalah wanita di penjara tetapi sebat bagi kesalahan zina. Seolah-olah mengambarkan SIS agen musuh Islam.
No comments:
Post a Comment