25 February 2010

Muhyiddin: Wang ihsan tidak bercanggah perjanjian

PUTRAJAYA, Feb 25 — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mempertahankan keputusan kerajaan untuk membuat bayaran wang ihsan berbanding royalti kepada Kelantan dengan menyifatkannya sebagai selari dengan undang-undang.

“Termanya bukan royalti dan ia telah dijelaskan oleh kerajaan dan juga menerusi iklan demi pengetahuan umum yang telah diterima dengan baik.

“Saya merasakan kita telah melakukannya (membuat bayaran wang ihsan) mengikut undang-undang,” katanya.

“Oleh kerana mereka minta bantuan, kami telah mempertimbangkannya dan bersetuju untuk memberi wang ihsan.

“Jadi kesemuanya adalah mengikut Akta Pembangunan Petroleum dan apa juga tafsiran telah dijelaskan oleh iklan yang kita buat,” kata beliau selepas melancarkan Pelan Transformasi Politeknik di sini hari ini.

Kerajaan menyiarkan iklan satu halaman dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian bagi menjelaskan isu pertikaian wang royalti yang dituntut Kelantan dengan menekankan pada lapan perkara.

Ahad lalu, kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan itu kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Malah iklan penjelasan itu menambah, Tengku Razaleigh pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaian kedudukan wang ihsan kerana bayaran yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Menjawab isu yang menyentuh ketua pembangkang maklum tentang kedudukan hak kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ini, iklan itu berkata, berdasarkan kedudukan peruntukan perundangan yang sedia ada, Anwar sedar kerajaan negeri tidak ada hak terhadap apa-apa bayaran tunai atau royalti berkaitan hasil petroleum yang diterokai di luar perairan wilayah negeri.

Oleh kerana itu kata iklan penjelasan tersebut, ketua pembangkang pernah cuba mengusulkan cadangan pindaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Parlimen, Disember lalu.

Tengku Razaleigh dan Pakatan Rakyat (PR) berkempen untuk mendesak kerajaan pusat membayar wang royalti kepada Kelantan.

Ini termasuk pertukaran pandangan Tengku Razaleigh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang dengan pengikut-pengikut mereka menerusi Twitter.

Lim pula mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan janji yang dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein lebih tiga dekad lalu.

Justeru, Muhyiddin yanga Timbalan Presiden Umno menyifatkan Tengku Razaleigh cuba untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya tahu langkah yang diambil oleh Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin pembangkang untuk meyakinkan orang ramai apa yang tidak betul dari segi undang-undang.

“Saya merasakan ia bukan cara yang betul untuk melakukannya. Ini bukan politik tetapi cara berperlembagaan dan sah, yang diperuntukan oleh undang-undang digubal Parlimen,” katanya.

Oleh itu, Muhyiddin juga mempersoalkan kesetiaan Tengku Razaleigh yang merupakan ketua Umno Bahagian Gua Musang kepada parti. - www.themalaysianinsider.com

* UmnoBN akan merasai 'kejatuhan yang dahsyat' kerana terus menerus memperbodohkan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment