26 February 2010

Mangsa dibunuh akibat cinta tiga segi?

MELBOURNE 25 Feb. - Nita Iskander, kekasih pemandu Konsulat Malaysia, Mohd. Shah Saemin yang mati dibunuh, membayar kira-kira A$7,000 (RM17,500) untuk menghantar jenazahnya pulang ke Malaysia, mahkamah Sydney diberitahu hari ini.

Peguam bela Nita, James Trevallion memberitahu Majistret Mahkamah Tempatan Newton, Margaret Quinn bahawa Nita telah merancang untuk menghadiri pengebumian Shah di Malaysia, lapor Australian Associated Press (AAP).

Terdahulu, seorang anggota skuad homisid memberikan keterangan bahawa wanita berasal dari Indonesia itu telah membuat pertanyaan melalui telefon mengenai cara untuk meninggalkan Australia 'sebelum dan selepas penahanan suaminya berikutan pembunuhan Shah' dan telah merahsiakan rancangannya daripada penyiasat.

Nita, 46, juga dituduh menyembunyikan fakta daripada detektif mengenai kedudukan suami dan anaknya semasa pembunuhan.

''Terdapat beberapa versi berbeza yang diberitahu mengenai di mana suami dan anaknya semasa kejadian,'' kata Konstabel Kanan Detektif, Sharon Neil kepada mahkamah.

Dalam pernyataan polis yang diserahkan kepada mahkamah, Nita mendakwa mengaku dirinya bercakap dalam telefon dengan mangsa semasa serangan itu berlaku.

Laporan AAP mengatakan Nita duduk senyap di kandang tertuduh semasa perkara itu dibicarakan, mendengar dengan teliti semasa Trevallion berhujah bahawa dia dan mangsa yang dibunuh itu sememangnya menjalin hubungan asmara.

Suami Nita yang merupakan pemandu teksi, Hazairin dan anak lelakinya, didakwa membunuh Shah, 43, dalam serangan kejam di luar apartmennya di bandar Leichhardt di Sydney.

Nita, yang bekerja sebagai kerani akaun di konsulat Malaysia di Sydney di mana Shah bekerja sebagai pemandu, didakwa terbabit dalam pembunuhan itu dan mengganggu siasatan polis.

Nita bagaimanapun dibenar dibebaskan dengan ikat jamin tetapi Hazairin, 55, ditolak. Anak lelaki mereka pula ditahan oleh pihak berkuasa Singapura semasa melarikan diri dari Australia pada pagi Rabu lalu.

Nita beserta suami dan anaknya dijadual dihadapkan ke Mahkamah Tengah Tempatan Sydney pada 7 April ini.

Sementara itu, jenazah Mohd. Shah tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini malam ini.

Ayahnya, Saemin Mongin, 70, berkata, jenazah itu yang tiba pada pukul 8.50 malam terus dibawa pulang ke Melaka.

"Allahyarham akan dikebumikan pada pukul 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya, Melaka," katanya kepada pemberita di luar kompleks berkenaan.

Turut menyambut ketibaan jenazah ialah ibu mangsa, Misnah Kasri serta tiga adik-beradiknya, Mohd. Kamal, Rohayu dan Mohd. Saiful. - Utusan

No comments:

Post a Comment