18 February 2010

Liwat II: Hakim tidak undur diri

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tidak perlu mengundurkan dirinya daripada membicarakan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohamad Zabidin, beliau tidak akan mengundurkan diri kerana tiada bukti yang menunjukkan beliau menipu seperti yang didakwa oleh pihak peguam bela.

"Tiada sebab bagi saya melucutkan diri kerana dengan berbuat demikian akan dilihat sebagai melarikan diri daripada tanggung jawab dan amanah saya sebagai hakim," katanya.

Anwar membuat permohonan itu setelah mendakwa hakim berkenaan berat sebelah dan menipu kerana gagal bertindak ke atas akhbar Utusan Malaysia berhubung laporan perbicaraannya.

Perbicaraan ini dipantau oleh masyarakat antarabangsa dengan teliti berikutan tuntutan dari ahli parlimen Australia dan juga pemimpin dunia lain yang mahukan dakwaan berkenaan digugurkan.

Dengan keputusan tidak mengundurkan dirinya, perbicaran kes liwat yang membabitkan mantan timbalan perdana menteri itu akan bersambung dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat disoal siasat oleh peguambela Anwar. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment