24 February 2010

Kugan tiada cedera sebelum masuk lokap, kata saksi

PETALING JAYA, Feb 24 — Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa A Kugan yang mati dalam lokap disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan semasa diperiksa di lokap Balai Polis Puchong Jaya sebelum dia dimasukkan ke sel lokap.

Konstabel Hairol Anuar Zainuddin, 24, yang bertugas di bahagian penerimaan tahanan di balai itu, berkata pemeriksaan itu dilakukan terhadap sembilan orang tahanan termasuk Kugan.

“Kesemua mereka diarah untuk berdiri kemudian duduk sebanyak 10 kali. Cara itu juga adalah untuk memastikan mereka tidak ada menyimpan bahan larangan yang disimpan di dalam badan,” katanya.

Beliau juga berkata itu adalah salah satu proses sebelum mana-mana tahanan atau suspek keluar atau masuk semula ke lokap.

Katanya, kesemua mereka termasuk Kugan diarahkan menjalani pemeriksaan itu dalam posisi mencangkung tanpa mengenakan pakaian.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ketujuh memberi keterangan dalam kes kematian Kugan dalam tahanan polis beberapa hari selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Okt lalu terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam Datuk PM Nagarajan, didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Jan, 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada 7 pagi dan 4 petang di tempat dan pada tarikh yang sama mengikut Seksyen 330 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hairol Anuar juga menjelaskan Kugan dan lapan lagi tahanan ada menjalani proses pemeriksaan itu pada pukul 12.45 tengah hari, bagi mengetahui sama ada mengalami cedera atau sebaliknya, dan kemudian diarahkan memakai semula pakaian.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali, beliau berkata adalah menjadi prosedur polis untuk memeriksa tahanan atau suspek sebelum dibenarkan masuk ke sel lokap bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah kesihatan.

“Jika terdapat seorang daripada mereka sakit atau cedera, pihak kami akan menghantar ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan dan pihak kami tidak akan menerima suspek atau tahanan jika mereka didapati cedera, ini adalah prosedur kami,” katanya ketika disoal Lailawati mengenai proses penerimaan suspek atau tahanan ke lokap.

Ketika ditanya sama ada cara lain boleh digunakan untuk memastikan tiada sebarang kecederaan pada tahanan atau suspek, Hairol Anuar berkata beliau akan bertanya kepada tahanan adakah sesiapa antara mereka yang mengalami kecederaan.

“Jika ada antara mereka yang cedera, saya akan arahkan pegawai yang membawa mereka ke lokap pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke lokap itu semula,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok. — Bernama

No comments:

Post a Comment