13 February 2010

Keputusan kekal atau gugur tuduhan Rabu

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, semalam, menetapkan Rabu depan bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan Anwar itu kerana memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Anwar (gambar) Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah membenarkan rayuannya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada Khamis depan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat itu.

- Bernama

* Ada harapan gugur kerana Malaysia mendapat tekanan tinggi daripada masyarakat antarabangsa yang rata-rata percaya ini adalah salah satu konspirasi politik.

No comments:

Post a Comment