24 February 2010

Hukuman mati ke atas lelaki bunuh teman wanita hamil kekal

PUTRAJAYA 24 Feb. – Seorang lelaki penganggur gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan di sini bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana menikam teman wanitanya yang hamil dalam satu insiden amuk 10 tahun lepas.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Seri James Foong dan Datuk Heliliah Mohd. Yusof menetapkan bahawa tidak terdapat arahan yang salah oleh hakim perbicaraan atas kegagalan menimbangkan Seksyen 86(2) Kanun Keseksaan.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Adnan Mat Jusoh membantah bahawa Hakim Mahkamah Kota Bharu telah terkhilaf kerana tidak menimbangkan pembelaan mabuk mengikut Seksyen 86(2) dan kemudiannya mengurangkan tuduhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat.

Adnan, 46, didapati bersalah membunuh Mastura Kamarul Jamal, 28, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian, Kelantan pada 11.30 malam pada 6 Januari, 2000.

Jenazah Mastura yang hangus dijumpai berdekatan tangga dan pintu rumah yang telah dibakar oleh Adnan yang dikatakan mengamuk. Kesan tikaman juga ditemui di dada sebelah kirinya yang merosakkan paru-paru sebelah kiri dan jantungnya. – Bernama

No comments:

Post a Comment