04 February 2010

Guna pisau hiasan hasil tangan ayah

KUALA TERENGGANU: “Kejadian itu pertama kali berlaku di kampung ini dan ia benar-benar menggerunkan,’’ kata Habsah Abdullah, 55, sepupu kepada Che Mat Nik, 51, yang maut ditikam anak kandungnya.

Menurutnya, dia difahamkan suspek hilang kawalan selepas dipengaruhi bisikan suara wanita bernama Siti Aisyah yang dipercayai makhluk halus.

Katanya, pisau yang digunakan dalam kejadian bunuh itu dibuat sendiri arwah sepupunya beberapa tahun lalu.

“Arwah sebelum ini membuat pisau itu selepas ditempah seorang pelanggannya, malangnya ia tidak dituntut menyebabkan senjata tajam itu dijadikan perhiasan di tiang rumah,’’ katanya kepada Harian Metro, semalam.

Peniaga keropok itu berkata, sebelum kejadian meragut nyawa sepupunya, keluarga mangsa tidak pernah mengalami kejadian pelik atau mistik.

Namun katanya, dia tidak dapat memberi sebarang komen kejadian yang menimpa keluarga sepupunya itu mempunyai kaitan dengan pisau hiasan yang dipercayai mendorong tindakan suspek dalam tragedi terbabit.

Apa yang pasti katanya, semua anak mangsa dididik dengan penuh disiplin dan tidak membiarkan mereka bergaul sebarangan, malah sepanjang pengetahuannya suspek hanya berkawan dengan saudara-mara dekat saja.

“Saya percaya dia (suspek) tidak terbabit dengan salah guna dadah sebab banyak masa dihabiskan membantu ayahnya membaiki bot,” katanya.

Sementara itu, adik suspek, Nor Fatimah Idayu, 14, menyifatkan abangnya, seorang yang rajin, penyayang dan mendengar kata ibu bapa.

“Tiada sikap pelik ditunjukkannya dan dia sentiasa membantu ayah membaiki bot, malah amat rapat serta menjadi anak kesayangan arwah kerana sikap ringan tulang membantu keluarga,” katanya.

Rakan suspek, Shahimee Anam, 19, berkata sejak beberapa hari lalu, suspek yang sebelum ini kerap mengajaknya memancing tidak lagi berbuat demikian sebaliknya gemar berkurung dalam rumah selain bertukar menjadi pemarah.

“Sebelum ini, dia periang tetapi kebelakangan ini saya sukar berbual dengannya kerana dia mudah marah selain perbualannya yang biasanya bersopan bertukar kasar,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment