NARATHIWAT 17 Feb. – Dua anggota tentera ditembak mati dan dipenggal, manakala seorang lagi cedera dalam satu serang hendap dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak di daerah Rusok, di sini, semalam.
Ketua Polis Rusok, Polis Kolonel Samart Wichaichatkakkak berkata, mereka diserang oleh 10 lelaki bersenjatakan M16 dan AK47 ketika membuat rondaan di kawasan itu pada pukul 3.40 petang.
Tiga anggota tentera itu adalah antara tujuh anggota yang meronda kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan guru-guru sekolah di Baan Tamjareng, Koksato, Rusok.
Beliau berkata, kumpulan yang disyaki pemberontak itu turut melarikan dua M16 dan sejumlah peluru milik anggota tentera terbabit.
Samart percaya kejadian itu adalah tindakan membalas dendam kumpulan disyaki pemberontak itu selepas dua rakan mereka dibunuh oleh pasukan keselamatan Thai berhampiran Bachok dan Jok Irong dua hari lepas.
Lebih 3,800 orang terbunuh sejak enam tahun lalu apabila kumpulan pemberontak melancarkan semula gerakan menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. – Bernama
No comments:
Post a Comment