03 February 2010

Bukan cakap kosong

GEORGETOWN - "Saya ada bukti," tegas Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengenai kritikan kerasnya terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyebabkan beliau terpaksa menghadap Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu kelmarin.

Bagi mempertahankan kritikannya terhadap Guan Eng, Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, beliau akan menyerahkan bukti-bukti itu kepada Lembaga Disiplin PKR.

“Saya mempunyai banyak bukti untuk menguatkan kenyataan saya bahawa Guan Eng adalah seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis. Saya bersedia pada bila-bila masa jika dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti.

“Saya akan dedahkan segala-galanya apabila dipanggil memberi keterangan kelak,” katanya, semalam.

Katanya, beliau gembira apabila pimpinan parti tidak mengambil tindakan drastik seperti yang dijangkakan oleh sesetengah pihak terhadapnya, sebaliknya memberi peluang kepadanya untuk membela diri terlebih dahulu.

“Walaupun ramai yang berharap tindakan tegas dikenakan kepada saya tetapi pucuk pimpinan masih memberi pertimbangan wajar dan peluang sebulan kepada saya untuk berdepan dengan Lembaga Disiplin,” katanya.

Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, beliau tidak akan berdiam diri, sebaliknya terus mengkritik kepimpinan Guan Eng jika masih terdapat kepincangan atau salah tadbir.

“Saya berkhidmat untuk rakyat yang memberi mandat kepada saya pada pilihan raya umum lalu. Itu lebih penting kerana mereka mengharapkan pembelaan daripada wakil rakyat untuk menikmati kehidupan seharian yang lebih aman dan makmur,” katanya.

Mengenai dakwaan menjadi ejen UMNO dan Barisan Nasional (BN), Zahrain berkata, orang ramai boleh bercakap apa sahaja tetapi beliau ada prinsip perjuangan dan maruah diri.

“Saya tahu apa yang saya buat dan orang lain boleh kata apa sahaja kepada saya. Ini adalah masalah dalam parti dan tidak kena mengena dengan orang lain.

“Kenapa apabila berlaku masalah dalam parti, ada pihak yang akan menuding jari kepada orang lain dengan melabel sebagai ejen BN.

“Sepatutnya kita menilai semula keadaan parti dan diri sendiri agar dapat memperbaikinya untuk kebaikan semua pihak dan demi survival PKR pada masa depan. Ia isu parti dan tiada kena mengenai dengan parti lain termasuk UMNO,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment