01 February 2010

Budak lelaki cedera parah kaki tersangkut di eskalator

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun parah di kaki kirinya akibat tersepit di eskalator hampir satu jam di sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa bersama ibunya sedang menuruni eskalator terbabit untuk ke lobi dan tiba-tiba kanak-kanak itu menjerit kesakitan dan menangis apabila kaki kirinya tersangkut di tangga bergerak itu.

Difahamkan, pihak pengurusan pusat beli-belah itu dan orang ramai cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak malang itu setelah mendengar jeritan ibu mangsa.

Mereka bagaimanapun terpaksa mendapatkan pertolongan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak itu setelah percubaan mereka gagal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Damansara ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak pengurusan pusat beli-belah itu kira-kira pukul 11.56 pagi.

Sebuah jentera dengan lima anggota telah bergegas ke lokasi, dan berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak itu dalam tempoh setengah jam.

Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Pakar Damansara untuk rawatan lanjut. – Bernama

No comments:

Post a Comment