20 February 2010

Beng Hock tidak dibunuh

SHAH ALAM 19 Feb. - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock, hari ini mengesahkan bahawa tiada sebarang kesan penderaan atau dicekik ditemui pada mayat lelaki itu.

Malah, beliau bersependapat dengan dua pakar patologi yang menjalankan bedah siasat pertama bahawa Setiausaha Politik Exco Selangor itu meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi.

Penemuan tersebut sekali gus menolak keterangan pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand yang berpendapat bahawa 80 peratus Beng Hock mati akibat dibunuh.

Shahidan yang juga Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, kesan lebam pada leher Beng Hock yang bersifat sama disertai kecederaan dalaman menunjukkan ia berlaku akibat jatuh.

Jika mangsa dicekik, jelas beliau, kesan kecederaan dan lebam tidak akan sama kerana tekanan pada setiap jari berbeza semasa kejadian tersebut berlaku.

''Jika dilihat pada leher memang ada lebam tetapi pendarahan dalaman lebih hebat, otot yang sokong tengkuk lebam dan salah satu tulang patah tidak mencadangkan dia dicekik tetapi disebabkan tekanan yang lebih kuat,'' katanya.

Shahidan yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini berpendapat, kecederaan bersifat lebam otot dalaman yang dialami Beng Hock juga tidak mencadangkan dia dipukul.

Sebaliknya jelas beliau, ia memerlukan satu perlakuan yang amat kuat seperti jatuh dari tempat tinggi.

Sementara kecederaan pada kawasan dubur Beng Hock pula, Shahidan menolak kemungkinan kesan luka berlaku akibat tusukan objek keras sebagaimana yang didakwa Pornthip.

Katanya, kecederaan pada bahagian tersebut akan berbeza sekiranya ia berlaku sebelum mangsa jatuh terhempas dari tempat tinggi.

''Kecederaan pada bahagian tersebut adalah sebahagian daripada peristiwa jatuh, sebab patah dan corak-coraknya mencadangkan ia begitu.

''Kalau kecederaan di bahagian belakang telah berlaku lebih awal, pada pendapat saya, jenis kecederaan yang akan dialami Teoh mungkin berlainan.

''Saya merujuk kesan kecederaan yang lain juga adalah sama dan berlaku pada masa yang sama. Pada pendapat saya jika Teoh telah diperlakukan (ditusuk) demikian, peristiwa jatuh tersebut mungkin tidak boleh digambarkan kerana kecederaan di bahagian dubur itu agak hebat,'' jelas beliau.

Ditanya tentang hasil bedah siasat pertama, beliau yang telah meneliti laporan itu berpendapat Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar telah melakukan tugas mereka dengan baik.

Beliau juga bersetuju dengan pendapat serta pandangan kedua-dua pakar itu bahawa Beng Hock tidak terjatuh kerana kemalangan tetapi lebih cenderung akibat membunuh diri.

Sebelum ini, Pornthip yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor semasa memberi keterangan berpendapat, Beng Hock tidak mati membunuh diri, sebaliknya beliau yakin bahawa 80 peratus lelaki itu dibunuh.

Berdasarkan gambar-gambar, Pornthip mendakwa, mangsa mungkin dicekik, dipukul dengan kuat dan didera kerana ada kesan luka pada dubur akibat tusukan objek keras.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock untuk bedah siasat kedua dilakukan pada 22 November lalu.

Bedah siasat yang dilakukan selama dua jam bermula dari pukul 12.45 tengah hari itu turut dihadiri oleh Pornthip dan Profesor Dr. Peter Venezis yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut hadir ialah Khairul Azman, Prashant, Dr. Rohayu Shahar Adnan dan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal serta abang Beng Hock, Teoh Meng Kee.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapa Abas bersambung pada 1 Mac ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment