KUALA LUMPUR 19 Feb. – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menyasarkan keuntungan sebanyak RM1.7 bilion bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember, 2010 daripada RM1.55 bilion tahun lepas.
Pengarah urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, bank itu yakin dapat mencapai sasaran ini memandangkan peningkatan bilangan peminjam dalam segmen pembiayaan penggunanya dalam suasana persaingan yang sengit dalam pasaran.
"Unjuran ini juga diasaskan kepada pertumbuhan saiz aset pembiayaan serta margin keuntungan yang berterusan kukuh,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat, di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Kamaruzaman, margin keuntungan mungkin lebih rendah jika Bank Negara Malaysia mengambil keputusan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus daripada 2.0 peratus sekarang.
Beliau berkata, pembiayaan pengguna adalah tumpuan utama perniagaan Bank Rakyat, dan ia menyumbang 90.2 peratus kepada keseluruhan pembiayaan tahun lepas.
Pembiayaan peribadi bank itu kekal sebagai penyumbang utama iaitu sebanyak 79.3 peratus daripada keseluruhan pembiayaan penggunanya, jelas beliau.
Setakat 31 Disember, 2009, baki pembiayaan bersih pengguna Bank Rakyat meningkat sebanyak 19.9 peratus kepada RM33.8 bilion.
Kamaruzaman berkata, bank itu merancang untuk menambah modal berbayarnya kepada RM2.5 bilion daripada RM2.0 bilion sekarang, melalui satu terbitan saham baharu, menjelang suku ketiga tahun ini.
Beliau juga berkata, bank itu akan membincangkan pengagihan saham-saham baharu kepada sama ada ahli sedia ada atau ahli baru, pada mesyuarat agung tahunannya April ini.
Bank Rakyat mempunyai 794,199 ahli, dan daripada jumlah itu, 792,798 adalah orang perseorangan dan 1,401 dari koperasi. – Bernama
No comments:
Post a Comment