PELABUHAN KLANG - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi nasihat agar tidak terus menipu atau mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi beliau hingga menyusahkan mereka.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor berkata, ramai rakyat yang tertipu dengan helah Anwar sebelum ini termasuklah dirinya sendiri sehingga mempercayai segala pembohongannya.
“Dulu saya merupakan orang yang berada di barisan hadapan menyokong dan membela beliau. Tetapi hari ini, ramai yang semakin sedar, nampak kebenaran dan tahu siapa sebenarnya Anwar. Anwar adalah seorang pemimpin yang meletakkan cita-cita dan masalah peribadinya, mengatasi cita-cita, wawasan dan masalah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kurangnya sokongan rakyat terhadap siri demonstrasi yang diadakan sebagai bantahan terhadap pertuduhan liwat yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu berbanding sewaktu Ezam mengetuai demonstrasi pada tahun 1998.
Menurutnya, Anwar mungkin seorang yang hebat berpidato sehingga mampu meyakinkan rakyat untuk berdemonstrasi tetapi tindakannya itu hanya untuk memenuhi kepentingan peribadinya semata-mata.
“Saya nasihatkan Anwar, jangan heret rakyat lagi. Masalah peribadi beliau, selesaikanlah sendiri. Mengapa perlu pengaruh rakyat untuk turun berdemonstrasi. Ia akhirnya akan menyusahkan rakyat.
“Apabila ditangkap, (rakyat) perlu bayar wang ikat jamin, bahkan ada yang kehilangan kerja sehingga ke hari ini sedangkan Anwar bersenang-lenang. Anwar harus hentikan semua ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, di sini semalam.
Ezam turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya membiarkan masalah peribadi Anwar diselesaikan oleh beliau sendiri.
“Jangan kita rosakkan dan musnahkan masa depan hanya kerana membela pemimpin yang tidak ada ciri kenegarawan dan mempunyai moral yang tidak baik seperti itu,” katanya.
Sementara itu Ezam yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara, turut memberi isyarat akan kembali ke Malaysia dan Selangor khususnya, setelah sekian lama menumpukan tugas-tugas yayasan di Indonesia.
Menurutnya, beliau sedang mempertimbangkan secara serius dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat, untuk membawa yayasan itu ke Malaysia, walaupun sudah ada banyak permintaan agar beliau berbuat demikian.
“Kita tengok apa peranan yang boleh kita mainkan, tetapi ia menjurus ke arah mempertingkatkan kewibawaan kerajaan dalam isu penyelewengan, rasuah, good governance dan sebagainya. Saya lebih cenderung untuk membantu kerajaan dari segi itu,” katanya. - Sinar Harian
* Kalau tidak jadi pengerusi itu dan ini, maka tiada 'siapa'lah Ezam. Umno pun tidak percaya dia. Gerak yang diasaskan dia pun sudah tidak bergerak selepas pengerusi yang didiknya masuk PKR.
No comments:
Post a Comment