24 February 2010

17 mayat ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Bandung

JAKARTA 24 Feb. – Pasukan mencari dan menyelamat sudah menjumpai 17 mayat daripada kira-kira 70 orang yang dilaporkan hilang selepas 50 buah rumah dan sebuah kilang teh tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan kebun teh Desa Tenjolaya, Pasirjambu, Bandung sejak pagi semalam.

Identiti 15 daripada mayat itu telah dikenal pasti dan sebahagian daripada mereka sudahpun dikebumikan di sekitar kawasan desa itu.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dr. Priyadi Kardono berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa dihentikan beberapa jam sejak pukul 11 pagi ini kerana hujan lebat dan keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan berlaku lagi tanah runtuh di kawasan itu.

Mangsa-mangsa yang terselamat, yang berjumlah ratusan orang, kini ditempatkan sementara di khemah-khemah atau menumpang di rumah penduduk di kawasan yang berjauhan dari tempat kejadian.

Sementara itu, senarai mangsa yang dilaporkan masih hilang dalam kejadian itu telah dikurangkan kepada 29 orang daripada 38 orang sebelum ini setelah didapati ada pertindihan nama.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih percaya bahawa mangsa yang hilang dalam kejadian itu mencapai angka 70 orang.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi semalam dan pihak berkuasa hanya mengetahui mengenainya tujuh setengah jam selepas ia berlaku.

Desa Tenjolaya terletak kira-kira tujuh jam perjalanan berkereta dari Jakarta. – Bernama

No comments:

Post a Comment