25 February 2010

15 lagi suspek dicari kes bunuh komander Hamas

DUBAI 24 Feb. - Pihak polis di sini berkata, sekurang-kurangnya 15 lagi suspek yang menggunakan pasport asing dikehendaki untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang komander Hamas, menjadikan jumlah keseluruhan suspek kepada 26 orang.

Dalam pendedahan tersebut polis juga memberikan nama semua suspek yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Mahmoud al-Mabhuh pada 19 Januari lalu.

Suspek terkini merangkumi 10 lelaki dan lima wanita yang menggunakan pasport Britain, Ireland, Perancis dan Australia.

Polis Dubai sebelum ini mengenal pasti 10 lelaki dan seorang wanita yang dituduh menggunakan pasport palsu Britain, Perancis, Ireland dan Jerman untuk masuk ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kebanyakan suspek berkenaan menetap di Israel yang sekaligus meningkatkan spekulasi meluas pembunuhan berkenaan dilakukan oleh pihak perisikan rahsia Israel, Mossad.

Polis Dubai berkata, suspek terkini menyediakan sokongan logistik dalam perbuatan jenayah tersebut. - AP

No comments:

Post a Comment