08 January 2010

UMNO tidak politikkan isu kalimah Allah

PUTRAJAYA 7 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tuduhan pembangkang bahawa UMNO telah mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah sebaliknya pembangkang sebenarnya memulakan isu itu.

Beliau berkata, kerajaan sangat memahami keadaan yang berlaku sekarang kerana telah melalui tempoh panjang mentadbir negara.

"Kalau kita membaca kenyataan pemimpin pembangkang, sebenarnya merekalah yang mempolitikkan, ini bukan isu politik sebaliknya isu berkaitan umat Islam yang ada kaitan dengan akidah.

"Sudah tentu reaksi timbul di kalangan masyarakat Islam, cuma kita hendak pastikan tidak timbul buruk sangka dan membangkitkan perasaan tidak baik antara agama.

"Kerajaan harus berhati-hati dan ini juga adalah pendirian parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas tuduhan Pas bahawa UMNO cuba mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dalam kenyataannya di laman web Harakahdaily dipetik sebagai berkata, parti itu kesal dengan sikap UMNO yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu kalimah Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara fast track.

Idris juga mendakwa UMNO bertanggungjawab mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, antara lainnya mengandungi klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan itu tiada dalam hukum Islam.

Muhyiddin menegaskan, UMNO sejak dulu menjadikan usaha membela agama, bangsa dan negara sebagai asas perjuangan sehingga membolehkan rakyat negara ini hidup dengan aman.

"Isu kalimah Allah dekat dengan akidah umat Islam dan ini tidak ada kompromi, kalau ada kenyataan daripada pemimpin parti, ini menunjukkan kita prihatin dalam isu tersebut dan bukannya kita mahu mendapatkan keuntungan politik," katanya.

Sedangkan, Muhyiddin berkata, di kalangan pemimpin pembangkang sendiri timbul pelbagai pendapat apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan yang berbeza mengenai isu tersebut.

Begitu juga, kata beliau, dengan kenyataan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membenarkan penggunaan kalimah tersebut bagi orang bukan Islam.

"Walaupun hal ini diputuskan di mahkamah, ia tidak akan menyelesaikan apa yang menjadi pegangan umat Islam selama ini.

"Sebenarnya bila melihat keadaan sebegini, parti pembangkang lebih kepada mendapatkan keuntungan politik dengan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, itu bezanya dengan pemimpin UMNO," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment