04 January 2010

Suami Mangsa Bunuh Ditahan

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Setelah empat hari menjadi buruan polis, suami kepada seorang eksekutif wanita, Fazlina Ahmad, 39, yang dibunuh kejam dan mayatnya disimpan dalam almari di Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini Rabu lalu, akhirnya berjaya ditahan polis.

Lelaki terbabit, Mohafri Mohamed, 37, ditahan sepasukan polis di kawasan pekarangan Zoo Negara, Ulu Kelang kira-kira pukul 8.30 malam ini.

Ketika ditahan, lelaki tersebut dikatakan sedang berseorangan di pekarangan Zoo Negara.

Bekas pengurus sebuah syarikat swasta itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

Katanya, lelaki itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk mendapatkan perintah tahanan reman esok.

Beliau berkata, penahanan individu yang dikehendaki itu adalah hasil maklumat orang awam menerusi siaran akhbar hari ini.

“Polis ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mayat Fazlina ditemui sepasukan polis yang datang membuat pemeriksaan di rumahnya setelah menerima laporan daripada rakan mangsa.

Mangsa dikatakan sepatutnya menghadiri satu temu janji pada pukul 10.30 pagi hari yang sama, namun kegagalannya hadir menyebabkan rakan-rakannya bimbang dan seterusnya membuat laporan polis tiga jam kemudian.

Ketika ditemui, mulut dan hidung mangsa ditampal dengan pita pelekat. Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati kerana lemas.

Masalah rumah tangga disebut-sebut motif pembunuhan kerana pasangan itu dikatakan sedang dalam proses penceraian.

Dalam pada itu, timbalan kepada Abdul Jalil, Supritendan Amiruddin Jamaluddin memberitahu, polis turut menahan pembantu rumah warga Indonesia kepada pasangan berkenaan untuk membantu siasatan.

“Dia ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan kerana dipercayai berada di rumah itu ketika hari kejadian,” jelas beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment