01 January 2010

Rakyat puas hati cara Najib jalankan tugas sebagai PM

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Lebih separuh daripada 1,027 responden yang terlibat dalam kaji selidik Merdeka Center berpuas hati dengan cara Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

Golongan India dan Melayu mencatatkan peratus responden berpuas hati yang paling tinggi iaitu 68 peratus responden India sementara 64 peratus responden Melayu berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri.

Sementara bagi responden Cina pula, 36 peratus bersetuju dengan cara Perdana Menteri berbanding 25 peratus tidak bersetuju dan 38 peratus lagi tidak memberikan sebarang respons.

Ini merupakan kaji selidik Merdeka Center bagi suku ketiga 2009 untuk mendapatkan pandangan umum di kalangan pengundi berdaftar yang ditemu bual melalui telefon.

Kaji selidik yang disiarkan dalam laman web Merdeka Center www.merdeka.org itu dijalankan pada 4 September 2009 sehingga 14 September 2009.

Seramai 1,027 responden yang terlibat dipilih secara rawak dan ia melibatkan 620 responden Melayu, 310 responden Cina dan 97 reponden India.

Responden yang terlibat meliputi wilayah tengah, timur, barat dan utara Semenanjung Malaysia dengan 51 peratus adalah wanita dan 49 peratus adalah lelaki.

Disoal mengenai cara Perdana Menteri menangani isu-isu tertentu, peratus paling tinggi iaitu 14 peratus daripada responden sangat bersetuju dengan cara Najib meningkatkan kualiti sistem pendidikan.

Ini diikuti dengan cara Najib menguruskan ekonomi iaitu 13 peratus responden sangat bersetuju, meningkatkan kecekapan kerajaan (11 peratus responden sangat bersetuju) dan pembangunan di kawasan luar bandar (11 peratus sangat bersetuju).

Dalam soal meningkatkan pengangkutan awam, mengurangkan jenayah dan mengurangkan rasuah setiap satu isu tersebut mencatatkan 10 peratus responden yang sangat bersetuju. - Utusan

* Sebenarnya rakyat marah kerana Najib tidak membawa perubahan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Malahan mereka semakin tertekan terutama dari segi ekonomi di bawah Najib.

No comments:

Post a Comment