03 January 2010

Iraq kecam keputusan mahkamah Amerika

BAGHDAD - Penduduk dan kerajaan Baghdad mengecam keputusan mahkamah Amerika Syarikat (AS) yang menggugurkan semua tuduhan ke atas lima pengawal keselamatan Blackwater Worldwide yang didakwa membunuh 14 penduduk awam Iraq pada 2007.

Baghdad berikrar akan mengemukakan rayuan dan mencabar keputusan mahkamah AS itu dalam usaha mendapatkan keadilan untuk rakyat Iraq yang menjadi mangsa kekejaman dalam serangan rambang itu.

Penasihat kepada Majlis Menteri Iraq, Saad al-Muttalibi berkata, isu Blackwater pasti akan menjejaskan hubungan Iraq dan AS jika semua pengawal tersebut tidak mendapat hukuman setimpal kerana membunuh rakyat Iraq.

"Kami akan merayu kepada mahkamah AS dan jika ia tidak diselesaikan dengan betul, ia pasti mengeruhkan hubungan Baghdad dan Washington.

"Undang-undang atau prosedur dalam kes mahkamah sepatutnya tidak menghalang mana-mana penjenayah daripada menerima pengadilan dan hukuman," katanya.

Saad menyifatkan keputusan mahkamah AS itu sebagai situasi yang sangat mengecewakan.

Jurucakap kerajaan Iraq, Ali al-Dabbagh berkata, kerajaan Iraq akan memantau isu ini dan akan memaksa pembunuh Blackwater bertanggungjawab atas jenayah dilakukan mereka.

"Tiada keadilan. Saya sudah menjangkakan mahkamah AS akan menyebelahi pengawal Blackwater yang terbabit dalam pembunuhan di Dataran Nisoor," kata mangsa, Bura Sadoun Ismael yang cedera ditembak dalam serangan tiga tahun lalu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment