30 January 2010

Gagal selami mahasiswa, Menteri dianggap tak matang

Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.

“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.

Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.” - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment