07 January 2010

Ditembak tukar tayar

GEORGETOWN: Seorang bekas pengusaha sebuah pusat hiburan maut ditembak dari jarak dekat ketika sedang menukar tayar kereta Perodua Myvi milik seorang wanita di Jalan Air Itam di sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa berusia 35 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Ego, berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah hentian bas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said berkata, dalam kejadian itu mangsa dikatakan sedang menukar tayar kiri depan kereta seorang wanita yang kebetulan pancit.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Cheen Boon Hong, 36, sedang membaiki tayar kereta berkenaan apabila dua lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa dan tiba-tiba melepaskan dua das tembakan.

Katanya, dua das tembakan itu menembusi tengkuk kanan dan satu lagi mengenai belakang badan mangsa, manakala wanita berusia 25 tahun terbabit dipercayai turut terkena serpihan tembakan, cedera di lengan kiri.


"Siasatan polis mendapati, mangsa pernah bekerja di sebuah pusat hiburan dan kini melakukan kerja-kerja membaiki kereta manakala wanita itu pula bekerja di sebuah pusat hiburan.

"Motif sebenar kejadian masih disiasat dan kes diklasfikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Wan Abdullah berkata, wanita yang cedera itu dihantar ke Hospital Lam Wah Ee untuk pemeriksaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti senjata digunakan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau mana balai polis berhampiran. - Mymetro

No comments:

Post a Comment