PESHAWAR 2 Jan. – Seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan berhampiran penonton perlawanan bola tampar di barat laut Pakistan, semalam menyebabkan 93 orang maut.
Letupan paling dahsyat di Pakistan dalam tempoh lebih dua bulan itu menyebabkan lebih 20 rumah runtuh, sesetengahnya berpenghuni, di sebuah kampung bersempadan dengan sebuah kubu kuat Taliban.
Menurut beliau, mereka yang terkorban termasuk enam kanak-kanak dan lima askar separa tentera, manakala 37 yang lain cedera.
Letupan itu menandakan permulaan 2010 dengan insiden berdarah bagi Pakistan yang mengalami peningkatan serangan daripada militan Taliban sejak beberapa bulan lalu, sebagai membalas dendam terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh kerajaan bagi menggempur kubu kuat mereka di barat laut negara ini.
Pengebom meletupkan kenderaannya yang sarat dengan bahan letupan semasa orang ramai berhimpun di sebuah gelanggang bola tampar untuk menyaksikan dua pasukan tempatan bertarung di kampung Shah Hasan Khan, daerah Bannu, bersempadan dengan kubu kuat Taliban di wilayah Waziristan Selatan.
“Pengebom memandu kenderaannya ke tengah-tengah orang ramai lalu meletupkannya,” kata ketua polis tempatan, Mohammad Ayub Khan.
Perlawanan itu dianjurkan oleh sebuah jawatankuasa keamanan tempatan yang telah menyokong operasi kerajaan untuk mengusir puak militan dari kawasan tersebut, kata Khan.
Dalam serangan paling buruk sebelum ini, 125 orang terbunuh di sebuah pasar yang penuh sesak di ibu kota wilayah, Peshawar dalam satu letupan bom kereta pada 28 Oktober lalu.
Keadaan keselamatan telah merosot di Pakistan sejak dua tahun setengah yang lalu, dengan lebih 2,800 orang maut dalam keganasan militan sejak Julai 2007. – AFP
No comments:
Post a Comment