07 December 2009

Tiga mat rempit maut bertembung sesama sendiri

TAMPIN: Keseronokan lima mat rempit berlumba motosikal berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka terbunuh, manakala dua lagi parah akibat bertembung sesama sendiri di Kilometer 10.3 Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 pagi, Ileyas Mahamad, 20, dari Kampung Padang Ragut, Seri Repah, dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Dua lagi mangsa, Muhamad Azrul Anuar, 18, dari Batu 5, Kampung Keru dan Adinan Othman, 30, dari Kampung Anak Air Durian, Pondoi, dekat sini, yang cedera parah di badan, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tampin.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata dua rakan mangsa iaitu Abdul Wafiq Sidin, 17, dari Kampung Anak Air Durian dan Asmizan Zulaimi, 20, dari Batu 5, Kampung Keru, dekat sini, yang patah kaki dan cedera di anggota badan, dikejarkan ke Hospital Melaka untuk dirawat.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dipercayai berlumba sesama sendiri dengan menunggang empat motosikal, seorang daripada mereka membonceng, bertembung sesama sendiri ketika membuat pusingan U di tempat kejadian.

"Akibat kejadian itu, dua daripada motosikal terbabit terpelanting ke sebelah kanan bahu jalan, manakala dua lagi ke sebelah kiri bahu jalan dengan keempat-empat kenderaan itu remuk teruk di bahagian depan," katanya.

Difahamkan, semua mangsa berlumba dari persimpangan Kampung Pondoi hingga Kampung Keru sejauh tiga kilometer dalam 10 pusingan.

Wooi berkata, mayat ketiga-tiga mangsa yang dibedah siasat di Hospital Tampin sudah dituntut oleh ahli keluarga.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 bagi membantu siasatan. - Bharian

No comments:

Post a Comment