KUALA LUMPUR 21 Dis. - Dakwaan bahawa seorang Brigedier Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah bersara kerana terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E TUDM serta pelbagai penyelewengan lain dalam pasukan itu sejak beberapa tahun lalu, adalah tidak benar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehilangan enjin pesawat itu tiada kena-mengena dengan penglibatan seorang Brigedier Jeneral TUDM seperti dilaporkan akhbar tempatan hari ini.
"Memang kita ada mengarahkan seorang Brigedier Jeneral TUDM untuk bersara tetapi bukan disebabkan kehilangan enjin pesawat pemintas milik TUDM itu tetapi faktor lain.
"Dakwaan dan apa yang ditulis oleh akhbar itu adalah tidak benar sama sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan seorang Brigedier Jeneral TUDM diarah bersara kerana terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E TUDM serta pelbagai penyelewengan lain dalam pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.
Pegawai terbabit mengetuai jabatan penting bagi pengendalian logistik pasukan, diarah bersara awal akhir tahun lalu selepas kehilangan enjin jet berharga RM50 juta di Gudang Material Udara I (Matra I), Sungai Besi, disedari dan dilaporkan kepada polis, Januari tahun ini.
Ahmad Zahid berkata, siasatan sedang dijalankan dan keputusan mengenainya akan dilaporkan apabila tiba masanya.
Bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang, beliau berkata, sistem inventori telah diubah dengan sistem manual tidak lagi digunakan.
"Kita akan buat latihan simulasi terhadap pemegangan rekod daripada sekecil-kecil barang hinggalah ke pesawat," katanya.
Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud ketika dihubungi mengesahkan laporan yang ditulis akhbar tempatan itu adalah tidak benar.
Beliau sendiri tidak mengetahui dari mana sumber itu diperolehi.
"Kita memang ada mengarahkan seorang Brigedier Jeneral TUDM bersara, tetapi ia tidak kena-mengena langsung dengan kes kehilangan enjin itu.
"Arahan bersara adalah perkara biasa yang akan dilakukan kerana melibatkan faktor tertentu dan kita tidak akan maklumkan kepada umum," katanya.
Ditanya adakah tindakan akan diambil atas kesalahan itu, Rodzali berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan terlebih dahulu.
"Tindakan memang boleh diambil," tegasnya.
Mengenai kes kehilangan enjin tersebut, katanya, siasatan berjalan lancar dan masih di tangan pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Di peringkat TUDM sendiri siasatan sedang berjalan dan saya percaya kes ini akan selesai tidak lama lagi kerana ia kini di peringkat Pejabat Peguam Negara," katanya. - Utusan
* Faktor apa pula kalau bukan faktor besar ini.
No comments:
Post a Comment