05 December 2009

Sulaiman mahu berhenti – PM

KUALA LUMPUR 4 Dis.– Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengesahkan bahawa Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Namun kata Perdana Menteri, belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada peletakan jawatan itu akan diterima atau tidak.

Beliau berkata, keputusan mengenai hasrat Sulaiman itu akan hanya diputuskan selepas berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Alasan beliau untuk meletak jawatan adalah peribadi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn di sini malam ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddih Yassin.

Sebuah portal berita propembangkang hari ini melaporkan Sulaiman telah menghantar surat untuk meletak jawatan daripada kementeriannya.

Tindakan beliau itu dilaporkan berpunca daripada layanan yang diterimanya di Kementerian Pelancongan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyatakan, beliau tidak mengetahui sama ada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menyertai atau tidak kaukus petroleum tajaan pembangkang.

Menurut beliau, perkara ini juga belum disahkan lagi oleh Tengku Razaleigh sendiri.

‘‘Saya tidak tahu lagi, dia belum sahkan lagi penglibatannya,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil alih peranan kaukus tersebut, Najib berkata;

‘‘Nak take over (ambil alih) macam mana? Sebab kita punya dasar sudah tentukan.

‘‘Kita punya pendirian (tidak ada royalti, sebaliknya wang ihsan), sudah dibuat dalam berhubung hal ini.”

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Tengku Razaleigh bersetuju menyertai kaukus yang bertujuan membincangkan pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

Tengku Razaleigh bagaimanapun menafikan beliau memutuskan menyertai kaukus itu sebaliknya memberitahu masih dalam proses mempertimbangkan tawaran.- Utusan

No comments:

Post a Comment