Pergerakan Puteri Umno akan menganjurkan kursus penulisan blog untuk semua anggota dan pemimpinnya di semua peringkat bagi memudahkan mereka menangkis fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.
Naib Ketuanya Shahanim Mohamad Yusoff berkata, anggota pergerakan itu perlu memahirkan diri dalam bidang penulisan blog kerana laman dalam talian internet itu kini menjadi ruang kepada pembangkang untuk membuat pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Umno.
"Sebagai persiapan pilihan raya umum akan datang, anggota Puteri Umno akan dilengkapkan dengan ilmu penulisan berita dan blog bagi menangkis semua fitnah oleh pembangkang," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan sijil kepada 130 anggota Puteri Umno Bahagian Sungai Petani mengikuti bengkel sehari penulisan berita dan blog di Sungai Petani hari ini.
Katanya, pergerakan puteri Umno di peringkat bahagian juga digalakkan mempunyai laman blog masing-masing bagi menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai Umno kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Kursus penulisan berita dan blog itu dianjur bersama pergerakan Puteri Umno Bahagian Sungai Petani dan Pertubuhan Kebangsaan Wartawan Dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM) cawangan negeri Kedah. - Bernama
* Baru meriah blog Malaysia.
No comments:
Post a Comment