01 December 2009

Permohonan Nalla diterima mahkamah

PUTRAJAYA 30 Nov. - Datuk S. Nallakaruppan buat masa ini tidak perlu mengemukakan butiran terperinci berhubung isu pemberian wang RM60 juta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya pada saat-saat akhir.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Baharuddin Shah Tengku Mahmud membenarkan permohonan Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) itu bagi menggantung perintah Mahkamah Tinggi yang memutuskan sebaliknya sementara menunggu rayuan penuh didengar.

Jika permohonannya ditolak, Nallakaruppan harus menyediakan butiran yang diminta secepat mungkin kerana tempoh 14 hari agar beliau berbuat demikian berakhir hari ini.

Keputusan majoriti 2-1 itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin yang memihak kepada Nallakaruppan manakala Hakim Datuk Hishamuddin Mohd. Yunus menolak permohonannya.

Nallakaruppan memohon agar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya beliau mengemukakan butiran terperinci berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripadanya dan juga daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation, ditangguh untuk sementara waktu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Nallakaruppan berhujah agar permohonan itu dibenarkan kerana ia tidak akan menyebabkan prejudis terhadap Anwar.

Bagaimanapun, Karpal Singh yang mewakili pemimpin pembangkang itu berhujah, permohonan tersebut harus diketepikan kerana tidak wajar panel itu mengganggu dua perintah yang telah diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Pada 16 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Yusof memutuskan demikian setelah menolak rayuan Nallakaruppan untuk mengetepikan perintah Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Anwar pada 28 Ogos lalu.

Zabariah mengarahkan Nallakaruppan mengemukakan butiran seperti yang dipohon oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam tempoh 14 hari dari keputusan tersebut.

Antara butiran yang perlu dinyatakan oleh Nallakaruppan adalah siapa yang memberikan wang berkenaan dan di mana serta bila ia diserahkan.

Anwar menyaman Nallakaruppan bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berikutan penerbitan artikel bertajuk 'Anwar Terima RM60 juta' yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan Sinar Harian pada Ogos tahun lalu.

Pemimpin pembangkang itu mendakwa Nallakaruppan membuat tuduhan palsu berhubung penerimaan wang tersebut.

Nallakaruppan dalam kenyataan pembelaannya bagaimanapun mendakwa, Anwar memang menerima wang itu.

Dalam perkembangan berlainan, Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini bagi mendengar rayuan Anwar berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menangguhkan rayuan hari ini berikutan permohonan Karpal agar salah seorang hakim dalam panel berkenaan, Datuk Hashim Yusof menarik diri kerana hakim itu pernah mendengar rayuan kes liwatnya yang pertama di Mahkamah Rayuan pada 2003.

Rayuan itu akan didengar bersama seorang hakim lain setelah Hakim Hashim bersetuju menarik diri daripada panel berkenaan.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Abdull Hamid Embong.

Anwar mengemukakan rayuan ke peringkat tertinggi setelah beliau gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, sah di sisi undang-undang.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan dua isu perundangan sama ada pemecatan beliau dibuat berlandaskan Perlembagaan atau sebaliknya.- Utusan

No comments:

Post a Comment