RAWANG 1 Dis. - Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor akan mendapatkan pandangan penasihat undang-undang sama ada perlu atau tidak membuat laporan polis berikutan pendedahan di Internet (MalaysiaToday) laporan sulit siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.
Katanya, beliau dimaklumkan laporan siasatan tersebut telah disiarkan oleh beberapa laman web dan beliau mempersoalkan mengenai perkara ini berlaku.
"Laporan ni masa siap di tangan kita (kementerian) tak pernah pun masuk dalam laman web, tak pernah pun keluar, tapi bila laporan tu kita lulus sahaja di kabinet, kita setuju nak hantar pada MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya), tiba-tiba sahaja menjadi popular dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek naik taraf jalan Rawang ke Tasik Puteri dan projek pembaikan cerun di KM17 Jalan Selayang-Rawang di sini hari ini.
Beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak mengenai hal tersebut tetapi menjelaskan bahawa selama laporan tersebut di kementerian dalam masa yang agak panjang, laporan itu tidak pernah disiarkan di Internet.
Tujuan laporan itu dibuat sebenarnya adalah untuk memberitahu MPAJ tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh mereka supaya kejadian tanah runtuh dapat dihindari pada masa akan datang, tambahnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment