Dengan bantuan Pemuda Umno, seorang wanita rakyat Malaysia dapat kembali ke tanahair untuk dipertemukan dengan keluarganya selepas 11 tahun terpisah kerana lari mengikut bakal suaminya, seorang Indonesia hingga ke Lombok di republik itu.
Biro aduan komuniti Pemuda Umno telah membantu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah untuk Norzuliyani Alias, 29, dari pihak berkuasa Indonesia dan kedutaan Malaysia di republik itu, untuk membolehkannya pulang bersama tiga orang anaknya.
"Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia kerana dapat memberikan permit keluar dalam masa yang singkat," kata Pengerusi biro tersebut, Datuk Muhammad Khairun Aseh dalam satu sidang akhbar hari ini
Manakala kedutaan Malaysia di republik pula telah mengeluarkan pasport sehala untuk membolehkan Nozuliani masuk semula ke Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya membantu Norzuliyana mendapatkan semua dokumen perjalanan tersebut kerana wanita itu memasuki Indonesia secara haram.
Dalam pertemuan di pejabat biro tersebut di ibunegara, Norzuliyani dilihat menitiskan air matanya apabila dapat berjumpa semula ibu bapanya Norhayati Abas, 48, dan Alias Bidi, 54.
Menceritakan detik lari mengikut bakal suaminya itu, Mahrudin Ahmad, 35, wanita berkata, perjalanan mereka mengambil masa sebulan dari rumahnya di Hulu Besut, Terengganu hingga ke Lombok yang terletak di daerah Nusa Tenggara, Indonesia.
Katanya, beliau memasuki Indonesia melalui satu pelabuhan di Johor dan mereka menyeberang Selat Melaka. Mereka kemudian berkahwin di rumah keluarga Mahrudin di Lombok. Ketika itu Norzuliyani berusia 17 tahun.
"Saya dengan suami saya tidak ada masalah. Cuma saya tidak dibenarkan bekerja, cuma duduk di rumah sahaja," katanya dalam sidang media selepas bertemu dengan keluarganya itu.
"(Mahrudin) beritahu saya dia akan datang ke sini," katanya lagi dan menjelaskan bahawa kepulangannya itu diizinkan oleh suaminya.
Ditanya sama ada dia akan pulang semula ke kampung suaminya, Norzuliyani dengan sebak menjawab: "Siapa tak rindukan suami..."
Sementara itu bapanya, Alias pula berkata, beliau tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap anak perempuannya itu, mahupun Mahrudin yang kini bekerja sebagai pemandu motosikal sewa yang dikenali sebagai 'ojek' di republik itu.
"Saya suruh (Mahrudin) balik sama. Tapi terpulanglah sama ada dia hendak balik ke sini atau tidak," kata Alias lagi berkata beliau telah membelanjakan "berpuluhan ribu" ringgit untuk mencari anaknya itu.
Katanya lagi, beliau pertama kali menerima khabar dari Norzuliyani yang mengirimkan surat kepada keluarganya, selepas tiga tahun meninggalkan rumah.
Menurutnya lagi, Norzuliani mengenali Mahrudin ketika beliau mengusahakan kedai makan di sebuah tanah rancangan Felcra di Keruak, Hulu Besut.
Mahrudin ketika itu bekerja di sebuah ladang di tanah rancangan tersebut dan mula berkenalan dengan anaknya di kedai makannya itu, kata Alias. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment