KOTA BAHARU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.
Pengarahnya, Mohd Roslee Mamat berkata langkah itu bagi memastikan bantuan kerajaan untuk menolong mangsa bencana alam itu sampai ke sasarannya dan mencapai matlamat.
Menurutnya, ia juga bertujuan memperlihatkan kepada umum ketelusan kerajaan dalam mengagihkan bantuan tanpa mengira fahaman politik.
"Kita mengambil langkah itu bagi memastikan matlamat dan misi kerajaan menolong mangsa yang terbabit dalam bencana alam difahami hingga ke peringkat akar umbi.
"Ini juga bersesuaian dengan slogan pimpinan kerajaan hari ini iaitu "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini timbul pelbagai tuduhan kononnya pengagihan bantuan kepada mangsa banjir tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat kerana campur tangan politik dan sebagainya.
"Dengan adanya pendekatan seperti itu, kerajaan berharap dapat menghindarkan sebarang tohmahan negatif terhadap MKN dan kerajaan," kata Roslee.
Menurutnya, menerusi pendekatan itu, pegawai SPRM akan membuat pemantauan di setiap majlis penyampaian yang dihadiri mangsa banjir daripada pelbagai fahaman politik bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak dipengaruhi elemen tidak sihat dalam pengagihan bantuan itu.
"Ini melibatkan integriti dan kita tidak mahu rakyat teraniaya dengan masalah seperti ini. Kita mulakan perkara ini pada musim banjir kali ini kerana melihat setiap kali pengagihan bantuan banjir timbul permasalahan tercicir daripada menerima bantuan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, penglibatan SPRM ini akan berterusan dalam menyertai proses agihan bantuan banjir.
Mengenai pengagihan bantuan mangsa banjir bagi negeri Kelantan, beliau berkata setakat ini seramai 2,163 keluarga mangsa banjir menerima bantuan sebanyak RM300 seorang keluarga dan selebih RM200 lagi akan diagihkan selepas musim banjir.
Untuk jajahan Pasir Mas sahaja, seramai 892 menerima bantuan banjir itu merangkumi beberapa daerah yang teruk mengalami bencana alam itu, terutama di daerah Rantau Panjang. BERNAMA
* Elok buat begini masa pilihanraya nanti.
No comments:
Post a Comment