12 December 2009

Menteri sokong haram burqa

Anggota Kabinet Perancis beri syarat lelaki Islam jadi warga negara

PARIS: Lelaki Islam yang memaksa isteri mereka memakai pakaian menutup keseluruhan anggota tubuh tidak wajar diberi kewarganegaraan Perancis.

Menteri Kehakiman Perancis, Michele Alliot-Marie, membuat saranan itu semalam ketika membincangkan isu sama ada membenarkan atau mengharamkan burqa.

"Ada beberapa kriteria asas yang kita perlu pertahankan. Contohnya, seseorang yang memohon menjadi warga negara Perancis dan isterinya memakai pakaian menutup seluruh badan adalah seseorang yang tidak berkongsi nilai negara kita.

"Jadi, dalam kes seperti itu kita akan tolak permohonannya," kata menteri berkenaan kepada televisyen LCI.

Alliot-Marie menyifatkan amalan memakai niqab atau burqa sebagai 'masalah yang menyukarkan untuk hidup bersama, menjejaskan nilai tempatan terutama maruah seseorang itu.'

Sebuah mahkamah Perancis tahun lalu menolak permohonan seorang wanita dari Maghribi yang memakai burqa untuk menjadi warga negara atas alasan dia mengamalkan cara hidup radikal Islam yang bercanggah dengan nilai penduduk tempatan.

Pada masa sama, Alliot-Marie berkata, kerajaan akan menunggu cadangan satu panel anggota Parlimen yang sedang menimbang kemungkinan memperkenal undang-undang melarang wanita Islam memakai pakaian menutup seluruh tubuh.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy sudah mengisytiharkan burqa 'tidak dialu-alukan' di negara sekular itu tetapi beliau tidak memberi pandangan dalam isu sama ada pakaian itu wajar diharamkan.

Panel 32 ahli perundangan akan menyerahkan laporan sama ada menyarankan atau tidak pengharaman burqa bulan depan. – AFP

No comments:

Post a Comment