17 December 2009

Mangsa tragedi KB Mall terima pampasan

KOTA BAHARU 17 Dis. - Tiga keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ngeri di pasaraya KB Mall di sini pada 6 Disember lalu, hari ini menerima pampasan dan sumbangan daripada pihak insurans melalui pengurusan Kolej Kejururawatan Masterskill, KB Mall dan kerajaan negeri.

Keluarga dua pelajar kolej berkenaan yang terbunuh dalam kejadian itu masing-masing menerima sumbangan dan pampasan berjumlah keseluruhan RM71,000 manakala keluarga seorang lagi yang cedera menerima sumbangan sebanyak RM2,000.

Ketiga-tiga keluarga mangsa itu menerima cek berkenaan yang disampaikan sendiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis ringkas di pejabatnya.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Masterskill Berhad Datuk Edmund Santhara dan Pengurus KB Mall, Vincent Khor.

Bagi keluarga pelajar yang terbunuh dalam kejadian itu, Allahyarham Siti Nur Amira Shamsudin, 19, dan Allahyarham Siti Nur Diyanah Azman, 23, masing-masing menerima RM51,000 melalui skim insurans dan RM10,000 daripada pihak KB Mall manakala pengurusan kolej menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi setiap keluarga itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment