SEREMBAN- Tindakan pantas seorang lelaki sebaik menerima panggilan telefon dari adik iparnya, berjaya menghalang seorang lelaki warganegara asing yang cuba menceroboh rumah mertuanya dalam satu kejadian pada pukul 11 Khamis malam di Taman Senawang Jaya di sini.
Lelaki tersebut, Izwan Sadikin, 39, yang bekerja sendiri memberitahu Bernama, beliau sedang berehat apabila menerima panggilan telefon dari adik ipar perempuannya, berusia 19 tahun, meminta pertolongan.
"Adik ipar saya telefon, katanya, bang ada orang nak masuk rumah, suara adik ipar saya benar-benar dalam keadaan ketakutan...ketika itu keluarganya tiada di rumah," katanya.
Beliau tidak membuang masa sebaliknya terus menuju ke rumah adik iparnya yang tinggal tidak jauh dari rumah Izwan.
Semasa tiba, penceroboh terbabit sedang memecahkan pintu depan rumah menggunakan peralatan besi tetapi terkejut selepas ternampak Izwan dan melarikan diri.
Suspek merupakan jiran mangsa dan menetap bersama dengan 12 lelaki lain dipercayai warganegara asing di sebelah rumah mangsa.
Izwan kemudian menghubungi anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di taman itu untuk membantu mencari suspek dan kumpulan itu berjaya menemui lelaki terbabit yang sedang bersembunyi di rumah sewa seorang rakannya tidak jauh dari situ, kata Izwan.
Suspek kemudian diserahkan kepada polis.
Pengerusi SRS Taman Senawang Jaya Datuk Rohani Shariff memberitahu Bernama, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di taman itu dan beliau menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati terhadap pekerja warganegara asing yang tinggal di taman itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment