PETALING JAYA: Polis memberikan layanan yang sama kepada semua pihak tanpa mempunyai sikap pilih bulu.
Kelmarin, Awal Ashaari, pelakon dan pengacara yang disahkan negatif ujian air kencing menceritakan dia dilayan baik oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supritendan Sharifah Hawariah Syed Idrus ketika berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Sharifah Hawariah membenarkan saya berehat di bilik pejabatnya buat sementara waktu kerana saya takut ramai media yang menunggu di luar.
“Kemudian, saya tertidur di situ sehingga pukul 11 pagi. Pada pukul 11.30 pagi baru pengurus saya datang mengambil saya,” kata Awal dalam satu sidang media khas di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam kelmarin.
Sementara itu, menjelaskan ‘layanan istimewa’ itu, Sharifah Hawariah ketika bercakap kepada mStar Online berkata, dia berbuat demikian atas permintaan pengacara Sehati Berdansa itu yang mahu 'menyorok' daripada pihak media yang berada di luar balai.
“Selepas ujian air kencingnya didapati negatif kira-kira pukul 9 pagi, ikutkan Awal sudah boleh beredar dari situ (IPK) tetapi dia yang minta untuk berada di situ buat sementara waktu kerana takut dengan ‘paparazi’.
“Jadi saya benarkan dia untuk berehat di situ. Tetapi dia berada di situ sehingga pukul 11.30 pagi, kelmarin,” ujar Sharifah Hawariah.
Jelas beliau, layanan seumpama itu bukan kerana Awal seorang artis.
“Kami layan dia bukan sebab dia aktor kerana sesiapa sahaja, saya tetap akan memberikan layanan yang sama.
“Saya berharap orang lain tidak memandang serong terhadap polis kerana kami sentiasa berkhidmat untuk rakyat,” jelasnya lagi. - mstar
No comments:
Post a Comment